SHAH ALAM – Kejohanan tahunan saingan Golf Allianz Malaysia Berhad bersama pengamal media kali ke-12 berlangsung meriah apabila seramai 78 pemain mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan di Kelab Golf Kota Permai di sini kelmarin.
Pertandingan yang menjadi platform hubungan erat antara syarikat dan pihak media itu bertujuan mengukuhkan hubungan dengan organisasi, selain memberi peluang kepada peserta berinteraksi dalam suasana santai di luar urusan kerja harian.
Allianz Malaysia diwakili oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Loh Kam Hian dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Life Insurance Malaysia Berhad, Giulio Slavich manakala pengamal media termasuk Presiden Penulis Sukan Malaysia, Ismadi Abdul Manap.
Berucap pada program tu, Slavich berkata, pihaknya amat menghargai peranan media dalam memastikan rakyat Malaysia menerima maklumat yang tepat, pantas dan bertanggungjawab.
Katanya, program berkenaan bukan sekadar pertandingan golf, malah menjadi platform untuk mengeratkan persahabatan, membina kepercayaan dan mewujudkan hubungan yang bermakna.
“Pihak pihak syarikat berasa sangat gembira kerana dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan media dalam suasana santai serta berharap tradisi tersebut dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Syahid dari Astro Arena muncul sebagai juara keseluruhan dengan kutipan 38 mata dan memenangi hadiah R2G Range Finder Mate Hybrid.
Bagi kategori berpasukan pula, kemenangan menjadi milik kuartet dari Allianz Malaysia yang terdiri daripada Ashraf Irfan, Yusof Harun, Borhan Abu Samah dan Rastam Ariffin dengan jumlah keseluruhan 252 mata.














