PETALING JAYA – Tanpa pakaian triatlon (trisuit) mahal untuk beraksi dalam acara sukan lasak, Ariffin Abdul Manan atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Ariffin sekali lagi membuktikan kemampuan dirinya menerusi penyertaan dalam Ironman 70.3 di Langkawi, hari ini.
Penampilan Pak Cik Ariffin yang cukup bersahaja sekali lagi mencuri perhatian yang sebelum ini tular kerana berjaya menamatkan larian sejauh 30 kilometer (km) tanpa kasut dalam acara Malaysia Taman Negara Ultra (MTNU).
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @adizuh, dia berkongsi keterujaan melihat lelaki tersebut sekali lagi menyahut cabaran baharu dengan menyertai Ironman 70.3 Langkawi.
Menerusi penyertaan tersebut, Ariffin bakal mengharungi tiga disiplin mencabar iaitu berenang sejauh 1.9 km, berbasikal 90 km dan berlari 21.1 km.
“Masih ingat Pak Cik Ariffin yang terkenal dalam acara trail TNU? Hari ini dia buat Ironman 70.3 Langkawi. Tiada trisuit mewah,” kongsinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen kagum dengan kemampuan dan semangat lelaki berkenaan.
“Ingat, pak cik tu bukan kosong ya. Yuran Ironman 70.3 sahaja dah berapa. Belum lagi dia tunjuk basikal dia,” balas @punkjunks.
Seorang lagi pengguna @irwan.mohd.zin turut berkongsi prestasi lelaki itu ketika acara berlangsung dengan mendakwa Pak Cik Ariffin berjaya menyelesaikan acara renang dalam tempoh 1 jam 10 minit.
Sementara itu, ada juga yang berpendapat penampilan lelaki itu membuktikan seseorang tidak boleh dinilai berdasarkan pakaian atau penampilan luaran semata-mata.
“Pak cik ini bukti orang tua berserban bukan tanda dia tiada duit. Ini antara tanda Muslim kaya serba-serbi,” komen @e.joo.
“IRONMAN dalam keadaan aurat terjaga. Mantap pak cik. Moga menjadi rujukan atlet-atlet luar sana,” tulis @mfzmki pula. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














