KAMPAR – Seorang pemandu treler berusia 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan selepas melanggar penunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya di sini petang semalam.
Kemalangan yang tular di media sosial itu menyebabkan penunggang motosikal, Muhammad Izzudin Asyraf, 19, mengalami kecederaan patah kaki kiri.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, nahas berlaku apabila treler dari arah Kampar menghala ke Ipoh melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal Honda yang ditunggang mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, penuntut kolej di Kampar tersebut cedera parah di kaki, manakala drebar treler cedera di kepala. Lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Terdahulu, tular dalam dalam media sosial rakaman video papan pemuka memaparkan kemalangan tersebut yang berlaku pada pukul 3.45 petang semalam di Kilometer 34, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini.
Rakaman itu memaparkan sebuah treler merempuh sebuah motosikal menyebabkan penunggangnya terjatuh dan terseret. – KOSMO! ONLINE














