KOTA KINABALU – Pakatan Harapan (PH) Sabah akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen di Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, keputusan itu antara perkara yang dipersetujui dalam perbincangan kepimpinan PH Sabah selain meneliti beberapa kerusi Parlimen lain yang berpotensi untuk ditandingi.
Bagaimanapun, beliau berkata penelitian terhadap kerusi berkenaan akan mengambil kira hubungan kerjasama dengan rakan-rakan komponen khususnya dalam Kerajaan Negeri.
“Kerusi-kerusi yang dikenal pasti berpotensi itu akan dibawa ke meja rundingan dalam proses perbincangan dengan mana-mana pihak yang berminat menjalin kerjasama dengan PH.
“Namun keputusan asas kita ialah mempertahankan tiga kerusi yang kita menangi iaitu Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan.
“Pada masa sama, kita sedang meneliti beberapa kerusi yang berpotensi tanpa menjejaskan kerjasama dengan rakan-rakan komponen terutama dalam kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE














