KUALA LUMPUR – Industri perfileman tempatan terus memperlihatkan perkembangan positif apabila lebih 10 filem berjaya meraih kutipan melebihi RM10 juta tahun ini, sekali gus membuktikan karya anak tempatan semakin mendapat tempat di hati penonton.
Pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan peningkatan kualiti penerbitan, malah memperlihatkan kemampuan penggiat industri menghasilkan karya yang mempunyai kekuatan penceritaan serta potensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, perkembangan memberangsangkan itu turut memenuhi sasaran yang ditetapkan pihaknya pada awal tahun.
“Alhamdulillah, industri filem dan televisyen negara semakin berkembang, bukan sahaja dari segi kualiti pembikinan, malah kekuatan penceritaan dan mutu lakonan.
“Jika dahulu hanya dua atau tiga filem setahun mampu mencatat kutipan melebihi RM10 juta, tahun ini kita berjaya mencapai sasaran lebih 10 filem. Pencapaian ini membuktikan karya tempatan semakin berkualiti, diterima penonton dan mempunyai potensi untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penganjuran Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang bukan sekadar menjadi platform mengiktiraf kecemerlangan penggiat seni, malah berperanan sebagai pemangkin kepada kemajuan industri perfileman negara.
Menurut Azmir, peningkatan mutu karya tempatan turut diakui barisan juri FFM35 yang berdepan persaingan sengit untuk menentukan filem terbaik daripada senarai pencalonan.
Malah, sambutan positif terhadap kandungan tempatan menerusi platform penstriman antarabangsa turut membuktikan kemampuan industri menghasilkan karya yang mempunyai nilai komersial serta daya tarikan merentas sempadan.
Justeru, Finas berhasrat menjadikan FFM sebagai acara tahunan berprestij yang bukan sahaja meraikan kejayaan pembikin filem, tetapi turut menyatukan seluruh warga industri dan mendekatkan masyarakat dengan perkembangan seni perfileman tanah air.
Katanya, kehadiran penggiat seni dalam jumlah memberangsangkan, termasuk pelakon yang tidak tersenarai dalam kelompok lima calon terbaik, memperlihatkan semangat kebersamaan yang semakin kukuh dalam kalangan warga industri.
“Kita mahu FFM menjadi medan seluruh penggiat industri meraikan kejayaan rakan seperjuangan, selain mendekatkan masyarakat dengan perkembangan perfileman negara.
“Sebagai dorongan kepada penghasilan karya lebih cemerlang, pemenang Filem Terbaik FFM35 turut menerima dana RM1 juta bagi membantu mereka meneruskan usaha menghasilkan filem berkualiti,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh kredibiliti festival berkenaan, Finas turut memperkenalkan sistem penjurian baharu buat pertama kali menerusi FFM35 dengan mengekalkan lapan juri profesional serta melibatkan tambahan 50 juri industri.
Barisan juri industri itu terdiri daripada bekas pemenang FFM dan pensyarah universiti yang diberi tanggungjawab untuk menilai karya dipertandingkan secara dalam talian.
Azmir menjelaskan, identiti juri industri tidak didedahkan antara satu sama lain, malah turut dirahsiakan daripada pengetahuan juri profesional bagi memastikan proses penilaian berlangsung secara bebas, telus dan tidak dipengaruhi kepentingan tertentu.
“Pada peringkat awal, terdapat beberapa persoalan daripada juri profesional mengenai kaedah pemarkahan dan proses perbincangan.
“Bagaimanapun, selepas keseluruhan proses selesai, mereka sendiri terkejut apabila mendapati keputusan 50 juri industri adalah selari dengan penilaian juri profesional.
“Ini membuktikan pendekatan baharu tersebut mampu memperkukuh ketelusan dan memastikan keputusan tidak bergantung kepada pertimbangan individu semata-mata,” katanya.














