Oleh ROHANA MOHD. NAWI dan TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
KOTA BHARU – Jika golongan wanita sanggup berhabis wang untuk koleksi tudung eksklusif berharga puluhan ribu ringgit, kaum lelaki juga tidak ketinggalan dalam berbelanja besar untuk aksesori pakaian pada musim perayaan.
Walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, namun kegilaan lelaki terhadap kain samping menyebabkan ada antara mereka sanggup membeli samping eksklusif bernilai RM70,000 yang hampir menyamai harga sebuah kereta Honda Jazz.
Pemilik Butik Haji Idris Omar, Asmah Abdul Akhbar, 61, berkata, dia tidak menyangka seorang lelaki bergelar Datuk dari Kuala Lumpur sanggup mengeluarkan wang untuk menempah sehelai samping sutera yang ditenun secara eksklusif bernilai RM70,000 sehelai.
Menurutnya, samping berwarna biru dengan corak bermotifkan pokok itu ditenun di butiknya sendiri dan berjaya disiapkan dalam tempoh enam bulan selepas mendapat tempahan daripada lelaki berkenaan pada tahun lalu.
“Inilah samping paling mahal pernah saya jual sejak 40 tahun menjalankan perniagaan keluarga ini. Saya adalah generasi keempat yang meneruskan kerjaya ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di butiknya di Kampung Penambang di sini baru-baru ini.

Asmah memberitahu, sebanyak 80 peratus daripada pembuatan samping bernilai RM70,000 itu menggunakan benang emas, manakala 20 peratus lagi benang sutera.
Katanya, dia membeli sebanyak 50 tongkol benang emas berharga RM700 setiap satu yang diimport dari Jepun, Jerman dan China untuk ditenun bersama benang sutera.
“Dalam tempoh itu, saya mengeluarkan modal hampir RM35,000 untuk menyiapkan samping eksklusif berkenaan.
“Selain itu, saya membayar upah kepada penenun sebanyak RM2,000 sebulan,” ujarnya.
Asmah berkata, benang sutera pelbagai warna yang digunakan dalam tenunan songket samping itu juga diimport dari China.
Menurutnya, penggunaan 20 peratus benang sutera dalam tenunan songket itu bagi memastikan samping yang dihasilkan menjadi lembut serta tahan lama.
“Menariknya, samping ini boleh disimpan sehingga 50 tahun. Penggunaan benang sutera juga menjadikan tenunan itu tidak hanya bergantung kepada benang emas yang akan menjadikan kain itu keras dan tidak boleh dibentuk.
“Teknik penyimpanan samping menggunakan benang emas juga berbeza, ia perlu digulung dengan kain putih dan dimasukkan ke dalam kain lain sebelum disimpan di dalam ruang kedap udara,” katanya.
Asmah berkata, samping itu juga mesti disimpan di dalam ruang atau almari yang tidak boleh ditembusi cahaya matahari.
Katanya, jika samping itu dilipat seperti kain biasa, benang emas yang sudah ditenun cantik berkemungkinan akan putus dalam tempoh yang singkat.
Menurut Asmah, dia pernah menjual samping sutera tenun berharga RM45,000 kepada seorang Datuk, namun lelaki itu menjual hasil tenunan berkenaan kepada rakannya ketika menghadiri perhimpunan agung sebuah parti politik beberapa tahun lalu pada harga RM80,000.

Bercerita lanjut, ujarnya, Kampung Penambang di sini merupakan sebuah perkampungan songket yang terkenal di Kelantan sejak 1940-an dan lokasi itu cukup dikenali bagi penduduk Kelantan dan luar negeri.
Katanya, dia bukan hanya menjual samping bernilai ribuan ringgit, sebaliknya songket yang berharga RM50 hingga RM350 sehelai mengikut kualiti dan bajet pelanggan turut dihasilkan.
“Kebiasaannya, samping songket tenunan eksklusif dijual pada harga sekitar RM6,500 hingga RM70,000. Meskipun dilihat mahal, tenunan songket mempunyai peminatnya yang tersendiri terutamanya dalam kalangan orang kenamaan di negara ini dan juga Brunei.
“Semua kain samping songket sutera yang ada di butik ini dihasilkan oleh pekerja di sini yang sudah mahir dalam aspek tenunan sejak berpuluh-puluh tahun lamanya,” katanya.
Menyentuh mengenai corak samping sutera, Asmah memberitahu, dia masih mengekalkan elemen tradisional tenunan iaitu pucuk rebung, awan larat, pokok, lawi ayam, tampuk manggis dan bunga cengkih.
“Disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tempahan samping semakin berkurang kerana ramai orang dari luar Kelantan tidak boleh datang ke sini untuk membuat tempahan.
“Namun, segala urusan jual beli masih boleh dijalankan secara dalam talian,” ujarnya.
Peminat tak kisah berhabisan duit asalkan miliki songket eksklusif
KOTA BHARU – Bukan satu atau dua helai, malah seorang peminat kain samping mempunyai 10 helai samping sutera dalam koleksinya yang berharga antara RM5,000 hingga RM10,000.
Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani, 75, berkata, beliau memang gemar memakai samping sejak 35 tahun lalu dan menjadikannya sebagai kelengkapan wajib untuk digayakan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ketika menghadiri majlis-majlis rasmi.
Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) itu berkata, beliau akan menempah samping songket dari pengusaha di Terengganu dan Kelantan untuk setiap persalinannya.
“Setakat ini, sebanyak 10 helai kain samping yang berada dalam koleksi saya. Kebiasaannya ia akan digayakan mengikut warna busana baju Melayu.
“Dalam keluarga, saya turut mengajar anak-anak lelaki untuk memakai samping songket ketika menggayakan bersama baju Melayu.
“Saya tidak mahu pemakaian kain songket ini ditelan zaman dan berharap ia menjadi satu kebiasaan dalam keluarga kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Di Dungun, seorang pemuda mempunyai hobi mengumpul samping tenunan asli Terengganu yang setiap satunya bernilai ribuan ringgit.
Ahmad Syauqi Kamarudin, 26, berkata, setakat ini dia mempunyai lebih 30 koleksi samping yang sebahagian besarnya diperbuat daripada benang sutera.
Kakitangan swasta itu memberitahu, minat terhadap samping tenunan asli Terengganu telah dipupuk oleh ibu bapanya sejak kecil lagi.
“Minat ini muncul apabila saya tertarik melihat arwah ayah segak menggayakan samping dengan baju Melayu. Sebahagian koleksi samping saya sekarang diwarisi daripada ayah.
“Kebetulan pula, keluarga ibu saya berasal dari Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang mengusahakan perniagaan songket termasuk samping,” katanya.
Bagi Ahmad Syauqi, samping adalah sebahagian daripada pakaian tradisi Melayu yang perlu dipertahankan dan dipelihara oleh generasi muda supaya terus menjadi simbol adat Melayu.
“Biasanya sehelai samping hanya akan dipakai bersama sepasang baju Melayu yang mempunyai padanan yang sesuai.
“Sebab itu, saya tidak kisah berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk sehelai samping songket kerana ia berbaloi untuk dijadikan sebagai koleksi peribadi,” ujarnya.
Ahmad Syauqi memberitahu, dia turut mendapat permintaan daripada peminat lain untuk membeli sebahagian koleksi sampingnya terutama yang berusia lebih 10 tahun selain corak serta motifnya yang sudah tiada di pasaran.
Permintaan masih tinggi biarpun Covid-19
KUALA TERENGGANU – Kain samping tenunan asli Terengganu tetap menjadi pilihan peminatnya untuk digayakan pada hari lebaran ini walaupun situasi ekonomi kini tidak menentu ekoran penularan Covid-19.
Seorang peniaga, Wan Mohd. Shukri Wan Awang, 54, berkata, biarpun kuasa beli ketika ini tidak besar, peminatnya masih sanggup mengeluarkan ribuan ringgit semata-mata memiliki samping idaman mereka.
“Sebelum ini, samping tenunan asli Terengganu boleh dijual sehingga RM50,000 sehelai.
“Walaupun kini tidak semeriah dahulu, samping berharga RM6,000 tetap dicari ramai pelanggan termasuk dari seluruh negara yang membuat pembelian secara online,” katanya di Pasar Besar Kedai Payang di sini.

Kuala Terengganu baru-baru ini.
Menurutnya, songket Terengganu berkualiti tinggi dan memiliki corak serta padanan warna yang unik selain ditenun dengan secara manual sehingga boleh diwarisi beberapa generasi.
“Proses tenunan menggunakan benang berkualiti tinggi termasuk sutera. Proses untuk disiapkan mengambil masa berbulan-bulan dan setiap samping menampilkan corak tersendiri, menjadikan harganya mahal.
“Kebanyakan songket jualan kedai saya dibuat oleh tukang tenun dari Kampung Pasir Panjang dan Kampung Gong Tok Nasek di sini,” ujarnya.
Wan Mohd. Shukri berkata, sebelum penularan Covid-19, permintaan terhadap songket tenunan asli Terengganu tidak terhad pada musim perayaan sahaja, sebaliknya majlis-majlis tertentu seperti Maulidur Rasul.
Selain orang kenamaan, dia sebelum ini sering menerima tempahan sehingga 100 helai samping daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. K! ONLINE
















