PETALING JAYA – Sikap pemurah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, yang tidak pernah lokek membelanjakan ahli keluarganya makan setiap kali pulang ke kampung di Kelantan menjadi antara kenangan paling sukar dilupakan.
Walaupun bekerja di kafe, anak bongsu daripada empat beradik itu sentiasa mengutamakan ahli keluarganya, malah tidak pernah berkira untuk mengeluarkan wang.
Kakak Allahyarham, Siti Hawa Najwa, 27, berkata, sifat pemurah adiknya bukan sahaja dirasai ahli keluarga, malah diakui rakan-rakan serta pelanggan yang mengenali pemuda tersebut.
“Adik memang pemurah. Walaupun dia bekerja kafe, setiap kali kami pulang ke kampung, dia akan belanja kami makan. Memang dia selalu belanja kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Siti Hawa berkata, arwah adiknya tidak pernah berikrar untuk menderma organ, namun dia sekeluarga berbuat demikian sebagai salah satu cara jariah Muhammad Aidil.
“Kalau semasa hidup dia suka membantu dan memberi kepada orang lain, kami harap selepas dia tiada, organnya dapat memberi manfaat kepada insan lain,” katanya.
Siti Hawa berkata, hubungan mereka bukan sekadar kakak dan adik, sebaliknya mereka begitu akrab sehingga hampir semua perkara dikongsi bersama.
Katanya, jarak usia yang rapat menjadikan mereka mudah berkongsi cerita, selain sentiasa mengikuti perkembangan masing-masing menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.
“Kalau ada apa-apa, memang kami selalu berkongsi dalam kumpulan keluarga. Jadi memang terasa sangat kehilangan dia,” katanya.
Kali terakhir Siti Hawa bertemu arwah adiknya kira-kira tiga minggu lalu ketika keluarganya datang ke Senawang, Negeri Sembilan kerana kematian nenek mereka.
Katanya, pertemuan itu menjadi kenangan terakhir bersama adik kesayangan yang tidak disangka akan pergi buat selama-lamanya dalam tempoh begitu singkat.
Siti Hawa berkata, arwah adiknya turut dikenali sebagai individu yang penyayang, menghormati orang tua dan wanita, selain disenangi rakan-rakan serta pelanggan di tempat kerja.
Keperibadian baik arwah turut terserlah apabila ramai rakan dan kenalannya hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk ketika upacara Walk of Honour di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.
“Semasa urusan di hospital apabila kami sebut nama Aidil, orang kenal. Jadi banyak urusan kami dipermudahkan,” katanya.
Muhammad Aidil terbabit dalam kemalangan motosikal kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya di Kelantan pada Isnin lalu sebelum dikejarkan ke hospital akibat kecederaan serius pada kepala.
Pemeriksaan lanjut mendapati pemuda itu mengalami kematian otak. Oleh itu keluarga bersetuju mendermakan organ dan tisu Muhammmad Aidil termasuk buah pinggang, paru-paru, kornea mata serta tulang, kecuali kulit.
Jenazah Allahyarham Muhammad Aidil dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor, Kelantan selepas zuhur hari ini.– KOSMO! ONLINE














