Gambar Allahyarham Muhammad Aidil bersama-sama kedua ibu bapanya dalam majlis graduasi sebelum ini.

‘Alhamdulillah, dua remaja terima buah pinggang arwah Aidil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hanya beberapa jam selepas prosedur pengambilan organ selesai pagi tadi, keluarga Muhammad Aidil Ahmad Zupardi dimaklumkan buah pinggang pemuda itu selamat sampai kepada dua remaja yang memerlukan.

Perkembangan terbaharu itu diterima daripada petugas Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia selepas urusan pengebumian Allahyarham Muhammad Aidil di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor, Kelantan selesai selepas zuhur tadi.

Kakak Allahyarham, Siti Hawa Najwa, 27, berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, dua penerima buah pinggang adiknya dikatakan masing-masing remaja lelaki dan perempuan berusia 14 dan 15 tahun.

Berita tersebut sedikit sebanyak memberikan kelegaan buat keluarganya yang masih bersedih dengan pemergian adik bongsu daripada empat beradik itu.

“Identiti penerima dirahsiakan, tetapi mereka beritahu buah pinggang adik (Muhammad Aidil) untuk dua remaja iaitu lelaki dan perempuan berusia 14 dan 15 tahun.

“Bila dapat tahu perkara ini, kami sekeluarga rasa sangat bangga kerana walaupun adik sudah tiada, organ arwah boleh membantu insan lain yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Hawa berkata, keputusan mendermakan organ milik Muhammad Aidil, 23, itu bukan sesuatu yang mudah terutama bagi ibu bapanya yang pada awalnya berat hati kerana bimbang prosedur tersebut menjejaskan keadaan jenazah.

Katanya, keluarga mengambil masa agak lama untuk berbincang dan mendapatkan penjelasan terperinci daripada doktor sebelum sepakat memberikan persetujuan.

“Kami banyak bertanya kepada doktor mengenai prosedur yang akan dilakukan. Kami cuba meyakinkan emak dan ayah bahawa pendermaan ini boleh menjadi jariah buat adik walaupun sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut Hawa, keluarga bersetuju dengan pendermaan hampir kesemua organ dan tisu termasuk paru-paru, buah pinggang, kornea mata serta tulang, kecuali kulit.

Keluarga Allahyarham Muhammad Aidil turut berpeluang melihat keadaan jenazah selepas prosedur pembedahan selesai dan mendapati tubuh pemuda tersebut dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah, kami (adik-beradik) lihat sendiri jahitannya cantik, tiada kecacatan seperti yang kami bayangkan. Adik nampak seperti sedang tidur sahaja.

“Jadi kami berharap masyarakat tidak lagi menganggap pendermaan organ sebagai sesuatu yang menakutkan,” katanya.

Muhammad Aidil terbabit dalam kemalangan motosikal kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kelantan pada Isnin lalu sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pemuda itu mengalami kecederaan serius pada bahagian kepala sehingga menyebabkan kematian otak sebelum keluarga bersetuju mendermakan organ dan tisunya.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN