PETALING JAYA – Usaha merangsang perbelanjaan pelancong asing dalam negara diperkukuh menerusi pengenalan Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia yang menawarkan kemudahan pembayaran tanpa tunai dalam pelbagai mata wang.
Inisiatif hasil kerjasama Tourism Malaysia dan Merchantrade Asia Sdn. Bhd. itu bertujuan memudahkan urusan transaksi pelancong antarabangsa sekali gus menghubungkan mereka dengan rangkaian peniaga tempatan.
Kerjasama strategik berkenaan turut menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027) menerusi peluasan penggunaan pembayaran digital dalam sektor pelancongan dan peruncitan.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, sinergi antara sektor awam dan swasta penting bagi meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama.
“Kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta merupakan kunci untuk memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama serta memacu pertumbuhan industri yang mampan.
“Kerjasama kami dengan Merchantrade membuktikan bagaimana perkongsian rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, perniagaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan, selaras dengan aspirasi kempen Visit Malaysia 2026–2027,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran kad berkenaan yang turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak hari ini.
Kad tersebut membolehkan pelancong melakukan pembayaran menerusi rangkaian Visa dan DuitNow QR di seluruh negara, selain menyokong transaksi tanpa sentuh menggunakan Google Wallet serta Samsung Wallet.
Kemudahan itu turut membuka peluang kepada peniaga tempatan dalam sektor hotel, pusat beli-belah, pengangkutan, makanan dan minuman serta tarikan pelancongan untuk menerima transaksi daripada pelawat antarabangsa dengan lebih mudah.
Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K. Veeran berkata, kemudahan pembayaran digital mampu memberikan keyakinan kepada pelancong untuk berbelanja di premis tempatan.
“Dengan menyediakan kemudahan pembayaran daripada tunai kepada digital serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar, kami memberikan keyakinan kepada pelawat dari seluruh dunia untuk berbelanja di premis tempatan, merangkumi aktiviti membeli-belah hingga ke pelbagai tarikan pelancongan menarik,” katanya.
Pelancong antarabangsa boleh mendapatkan kad berkenaan menerusi rangkaian cawangan Merchantrade di seluruh negara, termasuk di Pavilion Kuala Lumpur, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall, Sabah.
Kad dan aplikasi berkenaan turut dipromosikan melalui 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara bagi meluaskan capaian kepada pasaran pelancongan utama.-KOSMO! ONLINE














