PETALING JAYA – Sebuah lori kontena terbalik ketika sedang membelok keluar dari simpang kilang sehingga menghalang laluan kenderaan di Jalan Genting Rantau Panjang, Klang hari ini.
Kejadian yang berlaku di hadapan Warung Mujinah itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan sebelum dikongsikan di Threads oleh pengguna @kicik_hamid.
Menerusi rakaman tersebut, lori kontena berwarna biru itu dilihat melintang di atas jalan sehingga menghalang laluan pengguna jalan raya.
Kejadian itu mengundang perhatian orang ramai yang rata-ratanya berseloroh dengan menyifatkan lori kontena tersebut terlalu letih sehingga terbaring di tengah jalan.
“Kontena letih nak baring dulu,” komen @wangiansutera.
“Boleh pulak belok terus baring di situ. Huhu,” komen @nurikaorked pula.
“Bukan baring dah ni, tidur terus,” seloroh @amanadeq.
Sementara itu, pengguna @ kazu_mi2684 turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya.
“Allahuakbar. Seriau tengok. Berhati-hati bila berada di jalan raya. Semoga kita semua berada dalam lindungan-Nya serta dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














