Idham Kamal menyifatkan arwah isterinya sebagai seorang yang mempunyai pekerti mulia selain suka bersedekah.

‘Kematian arwah menghidupkan, mungkin asbab suka bersedekah’- Suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA- Seorang suami akur dengan ketentuan Illahi selepas isteri tercinta yang baru dinikahinya pada Oktober lalu menghembuskan nafas terakhir semalam selepas berjuang melawan penyakit kanser tahap empat sejak April lalu.

Lebih memilukan, Idham Kamal Hafizi Zaiyat Kamal, 24, turut mengambil keputusan menikahi Allahyarham Nuraqilah Nadhiratul Husna Syed Mohamad Faizal,23, ketika wanita itu sedang berjuang melawan penyakit berkenaan.

Menurut Idham Kamal, Allahyarham isterinya yang dikenali sejak 11 tahun lalu disahkan menghidapi ketumbuhan otak hanya selepas empat bulan mereka bertunang pada Disember lalu.

“Kami kenal sejak 11 tahun lalu ketika dibangku sekolah sebelum mengambil keputusan untuk bertunang pada 25 Disember lalu, namun empat bulan selepas itu, Allahyarham disahkan menghidapi ketumbuhan otak.

“Sepanjang berdepan keadaan itu, ada hari dia bersemangat dan adakalanya dia lemah tidak berdaya. Namun, kami mengambil keputusan untuk bernikah pada 10 Oktober lalu. Selepas nikah, arwah terus dimasukkan ke hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.

Mengulas lanjut, Idham berkata, episod kehidupannya disifatkan sudah lengkap dengan kehadiran isteri tercinta walaupun hanya ditakdirkan untuk berada di sisi selama sebulan.

“Saya tidak tahu apa akan terjadi dengan saya selepas ini. Terima kasih kerana tetap memilih saya sebagai suami awak walaupun saya banyak kekurangan.

“Sebelum awak, saya bukan siapa-siapa. Terima kasih sayang kerana jadikan saya versi sekarang ini. Cinta saya, sayang saya, semuanya untuk awak,” katanya.

Katanya, arwah isterinya juga merupakan seorang individu yang mempunyai budi pekerti mulia selain suka bersedekah dengan orang terdekat.

“Peribadi arwah, dia sangat suka bersedekah dan tidak pernah berkira, malah ada prinsip yang dia pegang, kalau bab makan jangan berkira.

“Mungkin sebab itu kematian arwah menghidupkan, asbab suka bersedekah,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN