![]() |
Melalui Inisiatif Ketelusan AI yang baharu, Microsoft bekerjasama dengan lebih daripada 40 organisasi, termasuk Accenture, Adobe, KPMG, Mastercard dan Volvo Cars, untuk memajukan pendekatan bersama terhadap ketelusan, keselamatan dan tadbir urus AI merentasi model dan penyedia perkhidmatan. Microsoft juga akan membawa kebolehlihatan yang lebih tinggi tentang cara model dan agen AI berinteraksi dengan data perusahaan merentasi produk dan perkhidmatannya
REDMOND, Wash., 18 November 2026 /PRNewswire/ — Organisasi boleh memerhati banyak aktiviti di sekeliling model AI, tetapi organisasi berkenaan sering kali tidak dapat membina semula perkara yang berlaku antara permintaan dan hasil, sekali gus menyukarkan pengesahan tingkah laku model secara bebas. Semasa acara Microsoft Ignite pada hari Selasa, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella mengumumkan fasa seterusnya bagi komitmen Microsoft untuk menjadikan AI lebih selamat: Inisiatif Ketelusan AI, iaitu usaha kerjasama dengan pelanggan dan rakan kongsi untuk mewujudkan pendekatan bersama yang terbuka terhadap keselamatan dan tadbir urus merentasi model dan penyedia perkhidmatan. Inisiatif tersebut mencerminkan prinsip yang mudah: Autonomi AI yang lebih besar memerlukan ketelusan yang lebih tinggi.
"Untuk kawalan keselamatan menjadi berkesan, setiap organisasi memerlukan ketelusan yang lebih tinggi terhadap model itu sendiri," kata Hayete Gallot, Naib Presiden Eksekutif, Microsoft Security. "Dengan usaha ini, kami akan membawa lebih banyak ketelusan kepada semua model. Ini merupakan langkah kritikal dalam menjadikan pembendungan lebih pintar dan kuat, sekali gus membenarkan kami mempertingkat kebertanggungjawaban dan kebolehkesanan dengan lebih baik."
Kini, perusahaan menghubungkan model AI kepada data, alatan, kelayakan dan infrastruktur, membolehkan agen mengambil tindakan tanpa kelulusan manusia pada setiap langkah. Kawalan sedia ada boleh memerhati banyak aktiviti di sekeliling model AI, tetapi perusahaan berkenaan tidak dapat melihat perkara yang berlaku di dalamnya atau mengesahkan akaun masing-masing tentang tingkah laku sendiri secara bebas. Ini mengehadkan keupayaan organisasi untuk memahami konteks di sebalik tindakan agen. Jurang bukti itu mewujudkan risiko keselamatan, pematuhan, audit dan kebertanggungjawaban. Pasukan keselamatan memerlukan seni bina kepercayaan baharu untuk menangani risiko dalaman yang semakin meningkat, ditimbulkan oleh agen AI yang semakin berkeupayaan.
"Apabila agen AI disepadukan secara mendalam kepada operasi perusahaan, pasukan keselamatan memerlukan kebolehlihatan yang jelas tentang perkara yang diakses oleh agen tersebut, tindakan yang diambil dan cara tindakan tersebut dapat disahkan," kata Aanchal Gupta, Ketua Pegawai Keselamatan, Adobe. "Membina pendekatan bersama untuk ketelusan AI merentasi industri adalah penting untuk memperkukuh kepercayaan dan membantu organisasi berinovasi dengan keyakinan sambil mengekalkan keselamatan dan kebertanggungjawaban."
Daripada prinsip kepada amalan
Inisiatif ini mempunyai tiga bahagian. Bahagian Pertama, Microsoft akan memperluas penyertaannya dalam Inisiatif Standard Agen SI Institut Standard dan Teknologi Kebangsaan, serta memanfaatkan penyelidikannya untuk membangunkan standard terbuka merentasi industri untuk ketelusan, keselamatan dan tadbir urus AI. Bahagian Kedua, Microsoft bekerjasama dengan lebih daripada 40 organisasi, termasuk Accenture, Adobe, KPMG, Mastercard dan Volvo Cars, untuk membantu membangunkan standard terbuka untuk sistem AI yang bertanggungjawab, boleh disahkan secara bebas dan selamat mengikut reka bentuk, tanpa mengira model atau penyedia perkhidmatan.
Bahagian Ketiga, Microsoft akan menggabungkan usaha ini ke dalam Microsoft AI, Microsoft Foundry dan Microsoft Copilot, membolehkan pelanggan menggunakan bukti yang terhasil dengan alatan keselamatan dan pematuhan masing-masing, sama ada daripada Microsoft atau penyedia perkhidmatan yang lain.
"Pelanggan kami mahu bergerak lebih pantas dengan AI dan tidak perlu memilih antara inovasi dan keselamatan," kata John Israel, Ketua Pegawai Keselamatan Maklumat Global, KPMG International. "Kepercayaan terhadap AI memerlukan ketelusan, penjelasan dan pengawasan yang bertanggungjawab. Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Microsoft dalam Inisiatif Ketelusan AI untuk membantu mewujudkan standard terbuka di seluruh industri yang memberikan organisasi kebolehlihatan dan kawalan yang diperlukan untuk menempatkan AI secara bertanggungjawab pada skala yang besar."
Kebertanggungjawaban yang jelas
Agen yang mempunyai akses kepada data, alatan dan kelayakan membawa profil risiko orang dalam yang mempunyai keistimewaan tetapi beroperasi pada kelajuan dan skala mesin, menjadikan pengawasan bebas amat penting.
Kebertanggungjawaban kekal bersama organisasi. Apabila sesuatu penting berlaku, para pemimpin perlu bertanggungjawab kepada pelanggan, pekerja, lembaga pengarah, juruaudit dan pengawal selia. Menyalahkan AI bukan jawapan dan "percayakan model" bukan kawalan.
Inisiatif ini direka bentuk untuk berfungsi merentasi model dan penyedia perkhidmatan, termasuk model tertutup dan model berwajaran terbuka, supaya pasukan pembangun boleh mengubah atau mengemas kini model yang memperkasa agen masing-masing tanpa menjejaskan keupayaan pasukan IT dan keselamatan untuk mentadbir urus agen dengan selamat, atau keupayaan pasukan pematuhan untuk mengaudit tindakan agen berkenaan.
"Apabila organisasi mengambil langkah seterusnya dalam penciptaan semula AI masing-masing, organisasi berkenaan memerlukan asas kepercayaan dan keyakinan yang kukuh sebagai landasan untuk dibangunkan," kata Harpreet Sidhu, ketua keselamatan siber global, Accenture. "Inisiatif seperti ini daripada Microsoft yang mengambil pendekatan terbuka dan dipacu oleh industri terhadap ketelusan AI boleh membantu kami mendapatkan model AI dan menyesuaikannya dengan kawalan dan tadbir urus. Accenture cukup berbangga dapat bekerjasama dengan Microsoft dan para peneraju yang lain dalam bidang ini."
Lihat, sahkan, kawal
Microsoft percaya bahawa setiap organisasi seharusnya dapat melihat perkara yang diakses dan dilakukan oleh sistem AI, mengesahkan tindakan sistem tersebut secara bebas dan mengawal perkara yang dibenarkan untuk dilakukan.
- Lihat: Ketahui perkara yang diminta dan dibenarkan untuk dilakukan oleh AI, jenis model dan masa jalan yang digunakan, data dan alatan yang diakses, serta tindakan yang diambil. Pantau aktiviti agen dan isyarat risiko secara berterusan terhadap dasar dan ambang.
- Sahkan: Agen tidak boleh menjadi satu-satunya sumber kebenaran tentang tingkah laku sendiri dan model termaju tidak boleh dipercayai untuk mentadbir diri sendiri. Bukti yang merangkumi identiti agen, niat dan tindakan yang diwakilkan perlu mengenal pasti sumbernya (model, masa jalan di sekelilingnya, atau sistem bebas seperti identiti dan dasar) supaya isyarat yang dilaporkan model dapat disemak dengan rekod yang diperhatikan secara bebas. Organisasi seharusnya dapat mengesahkan aktiviti AI secara bebas menggunakan sistem keselamatan dan pematuhan organisasi sendiri, tanpa perlu bergantung semata-mata pada akaun penyedia model tentang tingkah lakunya.
- Kawalan: Kekal bertanggungjawab terhadap perkara yang dibenarkan oleh AI. Bukti yang jelas tentang setiap tujuan aliran kerja, pemilik, data dan kuasa yang diwakilkan membantu organisasi menguatkuasakan dasar masing-masing sebelum tindakan penting dilaksanakan dan bina semula perkara yang berlaku semasa penyiasatan, pembendungan, pemulihan dan audit. Bukti itu seharusnya kekal bersama organisasi apabila model dan penyedia perkhidmatan berubah. Organisasi perlu mengekalkan kawalan ke atas data yang boleh diakses oleh agen masing-masing dan cara akses tersebut ditadbir urus, tanpa mengira model atau penyedia perkhidmatan.
Libatkan diri
Organisasi yang berminat untuk membantu membentuk inisiatif atau mengikuti perkembangannya boleh mengetahui lebih lanjut dan mendaftar di aka.ms/learnmoreAItransparency.
Ikuti berita daripada Microsoft Ignite, tempat Microsoft dan para peneraju industri akan berkongsi pandangan tentang cara organisasi boleh menguruskan model dan agen AI dengan penuh keyakinan. Maklumat lanjut boleh didapati dalam blog Microsoft Security.
Sumber artikel: https://www.prnasia.com/asia-story/archive/5100404_MS00404_6















