Ali ketika menerima rawatan di CCU, IJN sejak pukul 4 petang tadi.

Ali XPDC masuk CCU IJN, perlu pembedahan jantung segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan rock XPDC, Ali Ismail, 58, dilaporkan berada dalam keadaan keadaan tidak sihat dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU), Institut Jantung Negara (IJN) di sini sejak pukul 4 petang tadi.

Perkembangan membimbangkan itu dikongsikan oleh anaknya, Wan Aliuddin Aqiel menerusi aplikasi WhatsApp yang memohon orang ramai mendoakan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan rawatan bapanya.

“Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat, saudara-mara dan semua yang mengenali ayah untuk sama-sama mendoakan agar urusan ayah dipermudahkan, diberi kekuatan dan kesembuhan.

“Semoga Allah SWT mengangkat segala kesakitan ayah, memberi kesembuhan dan mempermudahkan proses rawatan yang sedang dijalani. Mohon titipkan doa buat ayah,” katanya.

Terdahulu, bekas pemain dram XPDC, Saiful Rizla Kamarudin turut memuat naik hantaran di Facebook memaklumkan keadaan Ali atau nama sebenarnya Mohd. Ali Ismail yang semakin merosot selepas mengalami sesak nafas sejak empat hari lalu.

Menurut Saiful, wajah penyanyi itu kelihatan pucat dan tidak bermaya sehingga memaksa mereka membawanya ke IJN untuk mendapatkan rawatan segera.

“Ali XPDC dikejarkan ke IJN. Dia sudah tidak berdaya lagi. Kira-kira empat hari lalu keadaannya sentiasa sesak nafas dan mukanya pucat tidak bermaya.

“Jadi, kami berbincang dan ambil keputusan untuk hantar Ali ke IJN disebabkan keadaannya sudah tenat,” ujarnya.

Difahamkan, pelantun lagu Semangat Yang Hilang itu memerlukan pembedahan jantung dengan segera, namun kekangan kos rawatan yang tinggi menyebabkan bantuan kewangan daripada orang ramai amat diperlukan ketika ini.

Sebulan lalu Ali pernah dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang akibat masalah kesihatan.

Beliau juga sebelum ini pernah menerima rawatan di hospital sama selepas pulang mengerjakan umrah pada 24 Januari lalu akibat jangkitan virus sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan berikutan masalah paru-paru berair.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN