Tangkap layar video tular yang memperlihatkan fenomena tersebut.

[VIDEO] Fenomena ‘awan pokok’ buat ramai terpukau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pemandangan luar biasa menyerupai tirai gergasi yang tergantung dari awan gelap di sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur mencuri perhatian orang ramai selepas rakaman itu tular di media sosial hari ini.

Fenomena yang memperlihatkan hujan lebat tertumpu di satu kawasan itu turut menimbulkan rasa kagum dalam kalangan pengguna jalan raya.

Menerusi perkongsian pengguna Threads dikenali sebagai @anietaasril, awan tebal berwarna kelabu gelap kelihatan di ruang udara, manakala curahan hujan dari jauh kelihatan membentuk seakan-akan tirai yang menjulur ke permukaan bumi.

Lebih menarik, keadaan itu kelihatan jelas dari kawasan yang belum dilanda hujan lebat, sekali gus menghasilkan pemandangan yang jarang disaksikan oleh sesetengah penduduk.

“Subhanallah, Allah Maha Besar.Pertama kali aku tengok macam ini. Lokasi Jalan Ipoh, Kuala Lumpur,” tulisnya menerusi hantaran tersebut.

Perkongsian itu meraih perhatian pengguna media sosial dan mendapat lebih 3,700 tanda suka selain ratusan komen serta perkongsian ketika tangkap layar dirakam.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum dengan kejadian itu, malah ada yang berkongsi pengalaman pernah menyaksikan fenomena hampir sama di lokasi lain.

Seorang pengguna, @muhdnasrijamal berkata, dia berpeluang menyaksikan kejadian tersebut dan mengakui terpegun melihat pemandangan berkenaan.

“Saya pun sempat tengok. Memang terpegun sekejap tadi, takjub dengan kebesaran Allah,” katanya.

Sementara itu, @noor_izara.zarith22 berkongsi pengalaman melihat fenomena serupa ketika menunggang motosikal.

“Saya pun pernah tengok, lagi lebar. Mula-mula terdetik apa itu di depan, ributkah? Sekali hujan lebat sangat. Nak ambil (rakam) gambar tidak sempat sebab sudah lencun naik motosikal,” katanya.

Dalam pada itu, pengguna @kiellahhh menjelaskan pemandangan tersebut dikenali sebagai fenomena ‘tirai hujan’ atau rain shaft.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila awan ribut melepaskan hujan yang sangat lebat dan padat yang tertumpu di kawasan kecil atau sempit.

Secara meteorologi, tirai hujan merujuk kepada jalur kerpasan yang kelihatan turun dari dasar awan, khususnya awan ribut, dan boleh dilihat dengan jelas dari kawasan sekitar yang tidak mengalami hujan.

Fenomena tersebut juga boleh menghasilkan perbezaan ketara antara kawasan yang sedang menerima hujan lebat dan kawasan berhampiran yang masih kering.– KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN