BANTUAN kewangan secara one-off disalurkan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada atlet angkat berat kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Roslin yang tangan kanannya terpaksa dipotong akibat kemalangan jalan raya.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, bantuan itu diberikan menerusi perlindungan insurans kelompok di bawah MSN bagi meringankan beban atlet berkenaan yang baru selesai menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) malam kelmarin.
Beliau yang melawat Hafizuddin semalam turut menjelaskan, atlet berusia 22 tahun itu berada dalam keadaan stabil dan mampu bercakap meskipun baru sahaja menjalani pembedahan selama 10 jam.
“Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan baik dan lancar. Beliau kini dalam keadaan stabil, sedar sepenuhnya, masih bersemangat, boleh tersenyum dan ceria,” katanya ketika ditemui selepas lawatan tersebut.
Selain bantuan diberikan MSN, Taufiq berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut menyalurkan bayaran sekali gus RM39,000 menerusi skim Lindung 24 jam selain bayaran lebih RM900 sepanjang hayat.
Tambah beliau, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN turut menanggung kos makan, minum serta penginapan keluarga Hafizuddin sepanjang berada di Kuala Lumpur selain bakal membantu bagi merancang kesinambungan kerjaya atlet berkenaan.
“Kita tidak akan meninggalkan beliau begitu sahaja. Walaupun tidak dapat lagi meneruskan karier sebagai atlet angkat berat, kita akan bimbing beliau untuk merancang kerjaya pada masa hadapan,” ujar Taufiq.
Pada masa sama, Taufiq berkata, KBS menerusi MSN sedia memperkasakan panduan sedia ada berkaitan kebajikan serta keselamatan atlet, termasuk pemantauan pergerakan serta aktiviti mereka di luar waktu latihan.
Mengulas cadangan melarang atlet negara menunggang motosikal atau mengubah peraturan waktu keluar masuk asrama, beliau menjelaskan, perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut bersama MSN sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita perlu berbincang dengan lebih mendalam bersama MSN. Sekiranya ada larangan baharu, garis panduan yang jelas perlu diberikan supaya mudah difahami oleh semua atlet,” ujarnya.
Terdahulu, Hafizuddin dilaporkan terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika dalam perjalanan dari Ampang ke Bukit Jalil kira-kira pukul 11 malam Isnin lalu.














