KUALA LUMPUR- Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, pelakon Diana Danielle kini memilih untuk lebih berhati-hati dan tidak lagi terburu-buru meninggalkan sebarang komen atau luahan dalam media sosial.
Menurut Diana atau nama penuhnya Diana Danielle Danny Beeson, 35, dia mengakui pernah terikut-ikut dengan budaya meluahkan emosi secara terbuka sebelum menyedari tidak semua perkara wajar dijaja untuk tatapan umum.
“Saya sudah belajar daripada kesilapan lalu. Kalau tidak, dulu saya pun cepat memberi respons. Kita sebenarnya tak boleh meluahkan setiap perasaan dalam media sosial,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran telefilem Like & Latte di sini, semalam.
Tambah pelakon filem Imaginur itu, situasi semasa dalam aplikasi Threads yang sering menjadi medan segelintir individu melepaskan rasa tidak puas hati membuatkannya lebih selesa mengambil pendekatan berdiam diri.
“Tak boleh nak kejar (catch up) dengan isu dalam Threads.
“Sejak dulu saya perasan, Threads jadi tempat individu meluahkan segala rasa tidak puas hati,” ujarnya.
Jelas ibu kepada dua cahaya mata itu, perubahan sikap tersebut penting memandangkan budaya berkongsi masalah secara terbuka sudah semakin menebal dalam kalangan masyarakat.
“Tapi kadang-kadang saya pun terjebak juga. Nak salahkan orang lain pun tak boleh sebab ini sudah menjadi budaya orang kita.
“Mungkin kita semua boleh berubah untuk menjadi individu yang lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian,” tuturnya.
Mengulas lanjut, dia tidak menafikan hak setiap individu untuk bersuara dalam media sosial namun menegaskan ia perlu dilakukan secara berhemah tanpa memudaratkan diri sendiri di kemudian hari.
“Pada saya tidak salah nak bersuara dalam media sosial tetapi pastikan setiap perkara itu datang bersama dokumen sokongan daripada laporan polis atau mahkamah.
“Mungkin ketika menulis kita tengah sakit hati sebab rasa ditindas, namun perkara itu boleh memakan diri kalau gagal dibuktikan di mahkamah,” katanya lagi.
Disebabkan itu, dia menasihatkan mana-mana pihak yang berdepan konflik agar mengutamakan saluran perundangan berbanding mencari simpati netizen.
“Kita kena bijak, pastikan semua bukti ada dan pergi ke saluran yang sepatutnya.
“Kena ada kesabaran untuk dapatkan keadilan. Memang tidak mudah untuk dilakukan tetapi itulah cara yang terbaik,” jelasnya.
Sementara itu, Diana merupakan antara teraju utama Like & Latte terbitan UTV Original yang turut dibintangi Nadia Brian dan Shah Jaszle. – KOSMO! ONLINE














