Saya mohon maaf, bertanggungjawab sepenuhnya – Puteri Balqis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Pelakon Puteri Balqis tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kelantangan serta penggunaan kata-kata kesat dalam beberapa hantaran media sosialnya baru-baru ini sehingga mengundang kecaman ramai.

Pemilik nama lengkap Puteri Balqis Azizi atau lebih mesra disapa Aqish, 19, itu mengakui cara dia meluahkan emosi sebelum ini agak keterlaluan, selain bersedia memikul tanggungjawab sepenuhnya atas tindakannya.

“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf atas kata-kata kasar sebelum ini dan mengakui cara saya meluahkan emosi sangat keras.

“Saya minta maaf dan bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah saya lakukan,” katanya menerusi sebuah video.

Dalam pada itu, dia memaklumkan telah menerima maklum balas daripada pihak produksi, Global Station, bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung dakwaan gangguan seksual yang didedahkannya sebelum ini membabitkan seorang pelakon lelaki.

Jelasnya, pihak produksi berkenaan akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk memfailkan pertuduhan berdasarkan rakaman asal serta keterangan saksi yang terlibat.

“Terima kasih kepada Global Station kerana memandang serius perkara ini ketika ribuan orang lain tidak berbuat demikian. Terima kasih kerana tidak takut kepada kebenaran.

“Saya amat berharap agar para saksi terus bercakap benar mengenai apa yang mereka lihat dan ketahui,” katanya.

Mengulas lanjut, Aqish turut meluahkan rasa kecewa apabila nasib yang menimpa dirinya dan keluarga seolah-olah dipandang sepi masyarakat, termasuk golongan profesional serta rakan industri yang sering memperjuangkan keadilan.

“Daripada ribuan orang termasuk peguam, pempengaruh, artis, remaja yang memperjuangkan keadilan serta masyarakat yang bercakap mengenai keadilan, begitu ramai tetapi mereka tidak mempercayai perkara yang berlaku kepada kami.

“Sekali lagi, kami diingatkan tentang apa yang berlaku kepada ibu saya.

“Rasa tidak percaya, penolakan dan kesakitan yang sama. Jika keadaan itu terbalik, kalian pasti akan mempercayai mereka tanpa sebarang keraguan,” jelasnya.

Menurut Aqish, kenyataan yang diberikan sebelum ini tidak pernah berubah dan dia amat menghargai kesudian pihak produksi mendengar luahannya ketika pihak lain memilih untuk menutup telinga.

“Kata-kata tidak dapat menggambarkan rasa syukur kami dan perkara itu sangat bermakna buat saya dan keluarga.

“Saya amat berharap siasatan ini akan membawa pencerahan, menegakkan kebenaran dan membawa kepada keadilan. Sementara itu, kami akan menunggu,” ujarnya.

Sebelum ini, Aqish meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap seorang pelakon lelaki yang didakwa sengaja bergesel dengannya ketika menjayakan babak lakonan bersama.

Dia turut mengambil inisiatif bertemu pengarah bagi meminta supaya babak bersentuhan dikurangkan selepas mendakwa pelakon berkenaan berulang kali cuba mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Terdahulu, Aqish juga meluahkan rasa kurang senang apabila mendakwa sering menerima gangguan serta amaran daripada segelintir peminat fanatik pelakon lelaki yang pernah bergandingan dengannya.

Malah, dia yang mengakui tidak berminat menjalin hubungan dengan mana-mana pelakon lelaki menyifatkan golongan lelaki dalam industri hiburan sebagai membosankan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN