TALENTBANK menandatangani dan bertukar MoU dalam bidang kebolehpasaran graduan bersama pihak berkepentingan.

Talentbank Career Passport bimbing pelajar universiti hingga dapat pekerjaan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), universiti awam dan swasta, pelbagai persatuan serta dewan perniagaan, dan Talentbank menandatangani dan bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kebolehpasaran graduan.

MoU tersebut ditandatangani pada Majlis Penyampaian Graduates’ Choice Award (GCA) ke-9 di Grand Ballroom, Sunway Resort, Selangor baru-baru ini.

Teras kerjasama ini ialah Talentbank Career Passport, yang boleh dimulakan pelajar seawal tahun pertama pengajian bagi membimbing mereka sepanjang di universiti hingga ke pekerjaan pertama.

Dianjurkan oleh Talentbank, majlis itu turut mengiktiraf majikan pilihan pelajar. 

Sebanyak 957,946 undian diterima tahun ini, meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mengangkat suara tenaga kerja masa depan negara dalam wacana kebangsaan mengenai kebolehpasaran graduan.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT,  Ahmad Rizal Adnan.

Ditentukan sepenuhnya melalui undian pelajar dan disahkan oleh pengamal perkhidmatan kerjaya dari universiti-universiti tempatan, GCA memberi gambaran jelas kepada majikan tentang persepsi bakat masa depan terhadap mereka. 

Undian 2026 menyaksikan penyertaan pelajar dan graduan dari setiap negeri, sekali gus mengiktiraf syarikat multinasional dan organisasi tempatan terkemuka sebagai majikan pilihan.

PARA pemenang bergambar semasa Majlis Penyampaian Graduates’ Choice Award (GCA) ke-9.

Majlis menandatangani dan bertukar MoU itu memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan persediaan kerjaya, pendedahan industri dan peluang pekerjaan sepanjang perjalanan pelajar di universiti. 

Inisiatif ini bertujuan menyokong aspirasi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026-2030, iaitu memperkukuh jalinan antara pendidikan tinggi dan industri, melahirkan graduan yang berdaya saing dan mudah menyesuaikan diri, serta menggalakkan pembangunan kemahiran secara berterusan. 

Penekanannya adalah membantu graduan membina kerjaya yang memanfaatkan potensi mereka dan menawarkan ruang untuk berkembang.

Bagi MoU antara KPT dan Talentbank, Ahmad Rizal menandatangani bagi pihak KPT, disaksikan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb. 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho, menandatangani bagi pihak Talentbank, disaksikan Pengarah Kebolehpasaran Graduan & Hal Ehwal Kerajaan, Muhammad Fadilah Abd Rahim. 

Pemimpin universiti serta wakil persatuan dan dewan perniagaan yang menyertai turut bertukar MoU dengan Talentbank.

Dihasratkan sebagai teman kerjaya sepanjang hayat, Career Passport direka untuk membantu pelajar meneroka pilihan kerjaya, memahami jangkaan majikan dan bersedia secara berperingkat untuk melangkah ke alam pekerjaan.

Platform itu direka untuk menghimpunkan peluang pekerjaan dan latihan industri, hubungan dengan alumni, latihan temu duga serta padanan pekerjaan. 

Menerusi Career Passport, pelajar boleh melihat kekosongan jawatan dan latihan industri daripada majikan di seluruh kampus dan persatuan rakan kerjasama, bukan sahaja majikan yang berkunjung ke universiti mereka. 

Pusat kerjaya universiti pula boleh mengikuti perkembangan pelajar sepanjang pengajian dan mengenal pasti keperluan sokongan lebih awal.

Malah, Career Passport turut direka untuk membolehkan pelajar mendapatkan bimbingan daripada ribuan mentor berkelayakan dari syarikat-syarikat terkemuka, bagi mempelajari secara langsung daripada profesional tentang laluan kerjaya, jangkaan industri dan kemahiran yang dihargai majikan.

KETUA Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho menyampaikan ucapan ketika Majlis Penyampaian Graduates’ Choice Award (GCA) ke-9.

Bagi pelajar dan graduan, matlamatnya ialah halatuju kerjaya yang lebih jelas dan peluang yang lebih mudah dicapai. 

Bagi universiti, ia memperkukuh sokongan kepada pusat kerjaya dan merapatkan hubungan dengan majikan. 

Bagi industri pula, ia membuka ruang untuk menjalin hubungan dengan bakat masa depan lebih awal serta menyampaikan kemahiran yang diperlukan di tempat kerja. 

Persatuan dan dewan perniagaan meluaskan jangkauan ini melalui syarikat ahli masing-masing.

Sementara itu, Ben Ho berkata, mereka berterima kasih kepada KPT, universiti dan rakan industri atas kepercayaan yang diberikan. 

“Harapan kami agar setiap anak muda Malaysia, di mana sahaja mereka belajar, mempunyai teman dalam perjalanan kerjaya mereka, sejak hari pertama di universiti hingga pekerjaan pertama dan sepanjang hayat pembelajaran. 

“Tiada satu organisasi pun mampu melakukannya bersendirian dan peranan kami adalah untuk berkhidmat, dan kami akan menilai diri kami berdasarkan kemajuan yang dicapai pelajar, bukan berdasarkan apa yang kami janjikan,” katanya.

Dengan pengalaman 16 tahun dalam bidang kebolehpasaran graduan, Talentbank menggabungkan kerjanya bersama pelajar, universiti dan majikan bagi menyokong usaha bersama ini. 

Aspirasi jangka panjang Career Passport adalah untuk membantu individu menempuh peranan seterusnya, mengenal pasti kemahiran yang perlu dibangunkan dan terus belajar seiring perkembangan kerjaya mereka.

Pelajar, graduan dan majikan boleh mendaftar profil di talentbank.ai dan senarai penuh pemenang GCA tahun ini boleh didapati di graduateschoiceaward.com. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN