RICHARD Chin (kanan) tampil cemerlang menghasilkan dua gol untuk bantu kemenangan 2-1 Harimau Malaya ke atas Yemen, sebentar tadi. - FAM

Gol sulung Chin bantu Harimau Malaya benam Yemen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bintang kelab Scotland, Ross County, Richard Chin muncul wira Harimau Malaya apabila meledak dua gol untuk membantu skuad negara menewaskan Yemen 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, sebentar tadi.

Peluang diturunkan dalam kesebelasan utama dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Chin apabila dua kali menghukum kesilapan penjaga gol lawan, Abdullah Abdulhakim Hasan Mohammed Al-Sadi.

Lebih manis, dua jaringan tersebut bukan sahaja menjadi gol sulung Chin bersama Harimau Malaya, malah memastikan skuad negara bangkit semula selepas tewas 0-2 kepada China, Sabtu lalu.

Harimau Malaya memulakan perlawanan dengan cukup positif apabila memperoleh gol pertama seawal minit keenam menerusi rembatan Chin yang bijak mengambil kesempatan terhadap bola muntah selepas Abdullah Abdulhakim gagal menangkap bola dengan kemas.

Jaringan itu nyata menyuntik keyakinan tambahan buat skuad negara yang dilihat beraksi tanpa tekanan, sekali gus memaksa Yemen lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

Selain mempamerkan corak permainan menerusi hantaran pendek, skuad negara turut menunjukkan disiplin tinggi dalam melakukan tekanan sebaik kehilangan bola. Bagaimanapun, penguasaan permainan sepanjang babak pertama masih gagal diterjemahkan kepada jaringan tambahan.

Skrip hampir sama berulang pada babak kedua apabila Yemen lebih banyak memberikan tumpuan kepada aspek pertahanan sambil menunggu peluang melancarkan serangan balas.

Kesilapan Abdullah Abdulhakim pada minit ke-57 sekali lagi mengundang padah apabila Chin pantas menghukum kelemahan penjaga gol itu untuk meledak gol kedua peribadinya.

Yemen hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-75 menerusi pemain gantian, Rauf Mohamed Al-Sheraji, namun percubaannya berjaya disekat pertahanan negara, Safwan Mazlan.

Bagaimanapun, Rauf akhirnya menebus kekecewaan itu apabila berjaya meledak gol tunggal Yemen dua minit kemudian, namun jaringan tersebut gagal menghalang Harimau Malaya daripada membawa pulang kemenangan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN