AHMAD ZAHID dan Ismail.

‘Ismail letak jawatan atas kehendak sendiri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – UMNO tidak pernah mengarahkan Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, sebaliknya keputusan itu dibuat atas kehendak sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Ismail juga tidak memberikan alasan khusus berhubung keputusan meletakkan jawatan itu, namun berkemungkinan mahu permasalahan yang berlaku di negeri berkenaan dirungkaikan secepat mungkin.

“Peletakan jawatan itu dibuat oleh Datuk Ismail sendiri. Tidak timbul soal UMNO mengarahkan beliau berbuat demikian.

“Beliau tidak memberikan alasan. Mungkin atas rasa kesedaran bahawa beliau mahu supaya permasalahan ini dapat dirungkaikan dengan secepat yang mungkin,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan perasmian Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini, hari ini.

BN menerusi kenyataan malam tadi mengesahkan menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dalam kenyataan itu berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerima satu salinan surat berkenaan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan pula mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung BN itu berkaitan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.

Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan pagi ini, menjelaskan bahawa pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat terbabit, yang menurut Zambry sudah ditandatangani oleh Ismail.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, surat peletakan jawatan berkenaan sudah diutuskan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut adat dan tatacara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengesahkan hanya satu nama calon Menteri Besar baharu dikemukakan kepada istana untuk mendapat perkenan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Katanya, warkah mencadangkan nama berkenaan diserahkan kepada istana semalam dan keputusan seterusnya diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara baginda.

Beliau berkata, hanya pihak istana berhak mengumumkan nama calon yang mendapat perkenan sebagai Menteri Besar baharu.

“Saya berharap ia dapat diselesaikan secara baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN