JAKARTA – Percutian tiga orang pelancong asing di Yogyakarta bertukar detik hitam apabila mereka disyaki menjadi mangsa penipuan (scam) melibatkan perkhidmatan pemandu pelancong dan pengangkutan sehingga mengalami kerugian berjumlah Rp1,750,000 (RM392) lapor saluran berita Lambe Turah.
Namun, tindakan luar biasa ketiga-tiga pelancong berkenaan selepas insiden tersebut mencuri perhatian ramai.
Daripada sekadar menyimpan bukti transaksi sebagai peringatan, mereka memilih untuk mengabadikan resit pindahan wang tersebut menjadi tatu kekal pada tubuh masing-masing.
Kisah unik itu menjadi tular di media sosial selepas hantaran mengenai pengalaman pahit mereka dikongsikan kepada umum.
Menurut perkongsian tersebut, insiden penipuan perkhidmatan pemandu pelancong dan pengangkutan itu berlaku sejurus selepas ketiga-tiga pelancong berkenaan tiba di Yogyakarta.
Keputusan mereka untuk menjadikan bukti pindahan wang bernilai Rp1,750,000 sebagai rekaan tatu kekal ternyata mengundang pelbagai reaksi yang menyifatkan cara tersebut sebagai sesuatu yang tidak lazim.
Berdasarkan foto resit transaksi yang turut dimuat naik, tertera bukti pindahan melalui mesin ATM BCA bertarikh 7 April 2023 pada jam 22.38.12 Waktu Indonesia Barat (WIB).
Resit berkenaan turut memaparkan transaksi pindahan antara bank dari akaun BCA ke akaun BRI berjumlah Rp1,750,000 atas nama penerima, Topik Paturrohaman. – AGENSI














