KUALA LUMPUR – Malaysia dan China komited memperluas kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang bagi membuka lebih banyak peluang yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri China Li Qiang pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang sedang berlangsung di Manila, Filipina.
“Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Li Qiang, saya merakamkan penghargaan atas sambutan mesra serta layanan baik sepanjang lawatan saya ke Hangzhou dan Shanghai, yang mencerminkan eratnya hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.
“Saya turut menzahirkan penghargaan terhadap kemajuan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang serta komitmen bersama untuk terus memperluas ruang kerjasama yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-29 dan menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada sesi berkenaan.
Pada 22 Sept lepas, Anwar mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Hangzhou dan Shanghai atas jemputan kerajaan China, iaitu lawatan keempat beliau ke negara itu sejak menjadi Perdana Menteri pada 2022.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut menantikan penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Shenzhen pada 18 hingga 19 Nov ini termasuk Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC yang akan dihoskan oleh Presiden China Xi Jinping.
Perdana Menteri berharap pertemuan itu dapat terus membuka peluang baharu untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan hubungan Malaysia-China. — BERNAMA














