Gambar hiasan.

Pendapatan pelaburan KWSP naik 30% kepada RM83 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 30 peratus berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan didorong prestasi portfolio pelaburan yang pelbagai, khususnya ekuiti yang terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan.

Bagaimanapun bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, pendapatan pelaburan KWSP meningkat lebih sederhana sebanyak tiga peratus kepada RM25.82 bilion, berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi bagi sembilan bulan pertama 2026 mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan serta kesinambungan strategi kumpulan itu dalam mempercepatkan penjanaan pendapatan.

“Kami menyaksikan pertumbuhan pendapatan yang lebih sederhana pada suku ketiga, dan trend ini dijangka berterusan pada suku keempat berikutan kelemahan dalam pasaran ekuiti global dan peningkatan hasil dalam pasaran bon.

“Pada awal suku ini, risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, inflasi yang berterusan dan penilaian saham berkaitan AI semakin meningkat. Perkembangan ini mendorong kami untuk terus berdisiplin dalam menguruskan portfolio, dengan mengimbangi peluang pelaburan dan risiko yang muncul.

“Pada masa yang sama, kami kekal fokus untuk menjana pulangan mampan dalam jangka panjang serta memelihara kesejahteraan persaraan ahli,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi suku ketiga, pelaburan ekuiti menyumbang RM17.41 bilion atau 67 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan, meningkat tiga peratus berbanding RM16.95 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM7.12 bilion atau 28 peratus, manakala hartanah dan infrastruktur serta pasaran wang masing-masing menjana RM890 juta dan RM400 juta.

Setakat 30 September lalu, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.55 trilion, dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat antarabangsa. Pelaburan global menjana pendapatan RM13.68 bilion, atau 53 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan suku ketiga.

Dalam perkembangan berkaitan, KWSP mendaftarkan hampir 659,000 ahli baharu sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan ahlinya kini melebihi 18.6 juta orang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN