Sebaik sahaja seekor jerung bersaiz besar dikesan di sebuah terusan di Busan, Korea Selatan, ahli biologi marin, Kim Hyun-woo, segera dikerahkan untuk menyelamatkan haiwan berkenaan.
Dia menerima panggilan kecemasan itu pada petang ketika dalam perjalanan pulang daripada tugasan menjejaki kawanan ikan kembung bagi membantu kapal nelayan.
Walaupun diiktiraf sebagai antara pakar jerung terkemuka di negara tersebut, namun dia tidak pernah menyangka akan diminta oleh pengawal pantai untuk misi menyelamat haiwan itu.
Korea Selatan bukanlah asing dengan kehadiran jerung, namun kemunculan spesies sebesar itu di satu terusan konkrit cetek, betul-betul bersebelahan pelabuhan, sesuatu yang belum pernah berlaku.
Orang ramai mula membanjiri kawasan dermaga, sekali gus menyebabkan pasukan Hyun-woo daripada Institut Sains Perikanan Kebangsaan perlu bertindak pantas.
Tugasan pertama mereka adalah untuk mengenal pasti spesies jerung berkenaan.
Langkah itu penting memandangkan sesetengah spesies berbahaya. Sebagai contoh, jerung putih besar yang popular menerusi filem ‘blockbuster’, Jaws pada tahun 1975 sangat terkenal dengan rekod menyerang dan membunuh manusia.
Pemeriksaan mengesahkan spesimen di Busan itu merupakan seekor jerung tembaga betina (dusky shark), spesies yang hanya dikaitkan dengan dua serangan maut setakat ini.
Pun begitu, Hyun-woo tetap bimbang sekiranya ada individu dalam kalangan orang ramai yang mungkin terjatuh atau terjun ke dalam terusan tersebut.
Jerung berkenaan perlu dikembalikan ke laut lepas secepat mungkin.
Pada peringkat awal, sebuah bot kecil pengawal pantai cuba menghalau haiwan itu keluar menggunakan peranti pencegah elektrik yang menghasilkan arus lemah.
Alat tersebut kebiasaannya digunakan sekiranya terdapat penampakan jerung berhampiran pantai yang menjadi tumpuan ramai.
Namun, selepas lima jam percubaan, pihak berkuasa mendapati jerung terbabit terlalu besar dan sukar untuk dihalau menggunakan kaedah berkenaan.
Kemudian, Hyun-woo mengubah strategi dengan menunggu jerung itu keluar dengan sendirinya, namun usaha berkenaan juga tidak membuahkan hasil.
Ketika pihak berkuasa masih buntu memikirkan jalan keluar, kisah jerung yang terperangkap itu mula tular di media sosial.
Taman di sepanjang terusan itu yang lazimnya sepi tiba-tiba sesak dengan kunjungan orang ramai untuk melihat kelibat pemangsa berkenaan.
Orang ramai menggelarkan jerung itu sebagai Bukangi, bersempena perkataan ‘buk hang’ yang bermaksud pelabuhan utara dalam bahasa Korea.

Tidak sampai beberapa hari, sebuah perniagaan telah mendaftarkan tanda dagang nama berkenaan, disusuli penjualan pelbagai barangan cenderahati seperti lencana, patung mainan dan baju-T Bukangi secara dalam talian.
Pihak berkuasa bandar raya tersebut turut memanfaatkan fenomena itu dengan menyiarkan penstriman langsung serta mengangkat Bukangi sebagai maskot rasmi mereka.
Beberapa sukarelawan tempatan turut mengambil inisiatif berkawal pada waktu malam bagi memastikan tiada pihak yang menyuluh lampu atau pancaran laser ke arah Bukangi.
Secara keseluruhan, lebih 1.6 juta pengunjung membanjiri kawasan terusan itu.
Datuk bandar berkenaan, Kim Joo-eun menyifatkan kehadiran jerung berkenaan telah membawa publisiti meluas kepada pelabuhan itu.
“Pada zaman ini, sangat sukar untuk melihat orang ramai berkumpul seperti ini. Saya rasa Bukangi telah menyatukan kami semua untuk memberikan sokongan kepadanya. Suasana ini amat menyeronokkan,” katanya kepada agensi berita BBC.
Namun, pihak berkuasa tidak boleh terus membiarkan Bukangi di dalam terusan tersebut.
Ini kerana, jerung itu tidak memakan apa-apa selama beberapa hari, selain dikesan mengalami luka pada bahagian muncungnya akibat terlanggar dinding konkrit.
Profesor biologi marin tempatan, Choi Yoon memberitahu, pakar-pakar amat bimbang tentang kecederaan ‘kritikal’ di sekitar mata jerung berkenaan.
Ahli biologi marin itu turut merujuk kepada satu insiden pada 2004 di Massachusetts, Amerika Syarikat, di mana pancutan air bertekanan tinggi digunakan bagi menghalau seekor jerung putih keluar dari kolam cetek.
Taktik serupa turut dicuba pada Bukangi, namun gagal apabila haiwan itu terus berpusing dan kembali semula.
Sementara itu, Kementerian Hal Ehwal Maritim Korea Selatan membayangkan kehadiran Bukangi di terusan berkenaan mungkin berpunca daripada fenomena pemanasan laut.
Kementerian itu percaya bahawa jerung berkenaan berkemungkinan mengekori kumpulan ikan lain ke perairan lebih panas.
Kira-kira 50 ekor jerung besar direkodkan di pesisir pantai timur Korea Selatan pada separuh pertama tahun ini iaitu peningkatan empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
“Saya amat meminati jerung ini, ia sumber harapan dan kegembiraan. Saya rasa kita tidak patut mengusirnya sekejam ini,” kata seorang wanita berusia lingkungan 40-an, Jeong Yo-won.
Akhirnya, apabila perhatian masyarakat kian memuncak, Kementerian Hal Ehwal Maritim mengambil alih operasi menyelamat daripada institut perikanan.
Pasukan penyelam memasang jaring dua lapis dan Bukangi berjaya diiring keluar dari terusan sempit itu ke perairan terbuka.
Akhirnya, pasukan penyelamat menanggalkan lapisan jaring dan Bukangi dilihat berenang semakin jauh menghala ke laut terbuka.














