Dzulkefly.

Akta Dana Kesihatan Nasional dilaksana dengan cermat, teliti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan penggubalan Akta Dana Kesihatan Nasional (DKN) menjelang 2029 sebagai langkah memperkukuh sistem pembiayaan kesihatan negara dan merealisasikan liputan kesihatan sejagat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, DKN merupakan sebahagian daripada transformasi struktur pembiayaan kesihatan yang sedang dilaksanakan, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dengan menggabungkan kekuatan sistem pembiayaan berasaskan cukai dan insurans sosial.

“Pewujudan DKN merupakan perubahan struktural yang besar, melibatkan penggubalan undang-undang baharu, hubungan persekutuan–negeri dan berkemungkinan turut menyinggung hal terkait perlembagaan.

“Oleh itu, akta ini perlu dilaksanakan dengan cermat, teliti dan berhemat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang ingin tahu tempoh masa kerajaan akan memperkenalkan kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan bagi mengurangkan kebergantungan sistem kesihatan awam pada peruntukan tahunan serta menangani peningkatan kos rawatan.

Dzulkefly berkata, DKN yang sedang dirangka akan menggabungkan pembiayaan melalui cukai am bagi menjamin liputan kesihatan menyeluruh kepada rakyat, selain mengambil pendekatan model Bismarck yang berasaskan insurans sosial melalui dana kesihatan khusus yang diurus secara berasingan.

Beliau berkata, pendekatan hibrid itu bertujuan membentuk kerangka pembiayaan kesihatan nasional yang mampan dan bersesuaian dengan konteks Malaysia.

Pada masa sama, katanya, KKM telah memulakan penelitian terhadap aspek pembiayaan, pemodalan, pakej manfaat, tadbir urus serta asas perundangan DKN dengan mengambil kira amalan terbaik antarabangsa bagi tujuan itu.

“Usaha ini turut melibatkan penyelarasan dasar merentasi whole of government bagi kita menggubal satu DKN yang menyeluruh dan realistik,” katanya sambil menambah pelaksanaan DKN akan menjadi antara usaha penting kerajaan untuk memastikan pembiayaan kesihatan negara dapat menyokong pencapaian liputan kesihatan sejagat.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, kerajaan perlu menangani cabaran operasi semasa tanpa mengabaikan reformasi jangka panjang sistem kesihatan. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN