PENCEMARAN logam berat menjadi punca kepada spesies ikan keli mengalami lepuh dan luka. - Hug Mekong Youth

‘Ikan zombi’ semakin membiak di sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGKOK – Penemuan berpuluh-puluh ekor ikan yang mengalami lepuh, luka serta perubahan warna pada siripnya  mencetuskan kebimbangan berhubung risiko pencemaran arsenik dan logam berat lain di Sungai Mekong, sebelah Thailand, lapor saluran berita Thaiger.

Fenomena ganjil itu tular selepas aktivis alam sekitar Aombun Thipsuna memuat naik gambar spesies ikan keli gergasi tempatan atau dikenali sebagai ‘pla khae’ yang terjejas, mendorong penduduk tempatan menggelarnya sebagai ‘ikan zombi’.

Menurut Aombun, pencemaran logam berat disyaki melemahkan sistem imunisasi hidupan air tawar sekali gus mendedahkannya kepada jangkitan penyakit, namun punca sebenar simptom tersebut belum dapat disahkan secara rasmi.

Memetik laporan laman berita Ejan, beliau berkata, nelayan di kawasan itu mula mengesan kelainan pada ikan di Sungai Mekong sejak tempoh pascapandemik Covid-19.

Keadaan itu dikaitkan dengan laporan pemantauan kualiti air oleh Jabatan Kawalan Pencemaran Wilayah 9 di Udon Thani yang merekodkan peningkatan kepekatan logam berat di Sungai Mekong sejak tahun 2023.

“Tahap pencemaran meningkat dengan lebih mendadak antara tahun 2024 hingga 2026. 

“Ukuran arsenik terkini pada Ogos lalu merekodkan bacaan tiga hingga empat kali ganda melebihi had piawai 0.01 miligram seliter di beberapa kawasan sekitar wilayah Loei dan Nong Khai,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN