KAKITANGAN SWCorp Johor membuat pemeriksaan di bekas tapak pelupusan sisa binaan dari Singapura di Mukim Rimba Terjun di Pontian, Jumaat lalu. – IHSAN SWCorp

Sisa binaan Singapura dibuang lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PONTIAN – Kegiatan pihak tertentu membuang sisa binaan secara haram masih belum reda apabila ia kembali aktif dengan 10 buah treler dikesan melakukan perbuatan itu di Mukim Rimba Terjun, di sini pada Jumaat lalu.

Tapak buangan yang telah ditutup pada 18 Ogos lalu itu dipercayai kembali didatangi kenderaan besar yang sarat dengan sisa binaan dikendalikan oleh empat syarikat lori.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Negeri (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, semakan dengan pihak kastam mendapati lapan lori mempunyai rekod kemasukan dengan muatan sisa batu dalam operasi pada 13 November itu.

Katanya, operasi juga mengesan dua buah lori tanpa rekod kastam serta tiada rekod operasi tetap mengikut urusan syarikat masing-masing dan keadaan di tapak terdapat sebuah jentera (jengkaut) dengan longgokan sisa bercampur.

“Maklumat pemilik berdaftar kenderaan akan dirujuk kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk pengesahan. Kertas siasatan akan dibuka di bawah Sek­syen 71(1) Akta 672,” katanya dalam satu kenyataan.

KAKITANGAN SWCorp Johor memeriksa bekas tapak pelupusan sisa binaan dari Singapura. – IHSAN SWCorp

Pada 13 November lalu, Kos­mo! melaporkan SWCorp Johor diminta menyiasat dakwaan terdapat aktiviti mencurigakan di tapak pelupusan sisa bahan binaan dari ­Singapura di Kampung Tenggayun, Mukim Rimba Terjun yang dipercayai beroperasi secara senyap.

Penduduk mendakwa melihat dua buah lori besar memasuki kawasan yang sudah ditutup oleh Majlis Perbandaran Pontian, sekali gus menimbulkan kebimbangan larangan pembuangan sisa itu dicabuli.

Tambah Zainal Fitri, pihaknya menegaskan, Seksyen 71(1) melarang mana-mana orang melonggokkan, mengasingkan, menstorkan, menyimpan, memungut, memindahkan, atau melupuskan atau menyebabkan atau membenarkan aktiviti tersebut dilakukan terhadap sisa pepejal.

“Mana-mana orang yang me­langgar subseksyen 71 (1) jika di­sabitkan kesalahan boleh didenda RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujar beliau.

TAPAK pelupusan sisa binaan dari Singapura yang telah ditutup sebelum ini di Mukim Rimba Terjun, Pontian.

Katanya, SWCorp memandang serius kegiatan itu dan akan meneruskan pemantauan serta tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang membenarkan pelupusan sisa pepejal terkawal yang tidak mematuhi Akta 672

Pada 18 Ogos lalu, pendedahan Kosmo! mengenai kehadiran puluhan treler membawa sisa binaan dari Singapura untuk dilupuskan di daerah ini sejak dua tahun lalu hingga membahayakan keselamatan penduduk.

Susulan itu, Singapura mengarahkan semua penghantaran sisa bahan binaan atau Construction and Demolition Waste ke Malaysia dihentikan serta-merta.

SWCorp Johor ketika itu memberitahu, arahan tersebut dimaklumkan Agensi Sekitaran Kebangsaan Singapura kepada pihaknya selepas kegiatan itu dibongkar oleh media tempatan hasil maklumat awam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN