PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an bertindak agresif dengan merempuh kenderaan polis ketika cuba meloloskan diri selepas dikejar dari Petaling Jaya hingga ke Titiwangsa, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.11 pagi itu, suspek yang memandu sebuah Toyota Vios pada mulanya cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis di sekatan jalan raya di Jalan SS2/75, di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, tindakan suspek itu menyebabkan kereta peronda polis terpaksa mengejar kenderaan berkenaan yang dipandu secara berbahaya melalui beberapa laluan.
Menurutnya, kenderaan terbabit kemudian berjaya dipintas di kawasan Jalan Tiara Titiwangsa 10, Kuala Lumpur, namun suspek bertindak agresif ketika cubaan tangkapan dilakukan.
“Semasa cubaan tangkapan dilakukan, suspek bertindak agresif dengan melanggar kenderaan polis sebelum melarikan diri semula.
“Susulan itu, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an yang merupakan pemandu kenderaan tersebut untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsudin berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod berkaitan dadah.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan suspek dipercayai melarikan diri kerana terkejut apabila melihat sekatan jalan raya yang dijalankan polis.
Bagaimanapun, katanya, suspek disahkan tidak berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.– KOSMO! ONLINE
















