Hantaran infografik dimuat naik Dr. Akmal di Facebook.

PRN Melaka: 48.13 peratus keluar mengundi, Dr. Akmal seru lebih ramai turun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengajak lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing susulan peratusan keluar mengundi PRN Melaka ke-16 yang masih rendah.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau memohon pengundi yang masih belum menunaikan tanggungjawab supaya segera keluar mengundi.

Menurutnya, setiap undi berpotensi memberi kesan terhadap keputusan akhir pilihan raya selepas semua pihak berusaha mendapatkan sokongan rakyat.

“Setakat ini, peratusan keluar mengundi masih rendah. Setiap undi boleh memberi kesan kepada keputusan akhir.

“Kami sudah berusaha sehabis baik. Kini, keputusan di tangan anda semua,” katanya.

Berdasarkan infografik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 322,072 daripada 669,211 pengundi berdaftar telah keluar mengundi, bersamaan 48.13 peratus setakat pukul 1 tengah hari.

Dari segi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Sungai Udang merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 58.48 peratus, diikuti Serkam (52.04 peratus) dan Tanjung Bidara (51.80 peratus).

Sementara itu, Bandar Hilir mencatatkan peratusan terendah sebanyak 39.22 peratus, diikuti Kota Laksamana (41.32 peratus) dan Kesidang (41.36 peratus).

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab sebagai pengundi.

“Melayu, sila buka mata dan mata hati. Guys, penting ini hala tuju Tanah Melayu,” tulis seorang pengguna.

“Ayuh rakyat Melaka, langit cerah membiru hari ini,” komen yang lain.

Seorang lagi pengguna berpendapat setiap undi memainkan peranan dalam menentukan hala tuju sesebuah kawasan.

“Harap jangan ambil mudah dalam bab mengundi. Undi anda boleh mencorakkan sesuatu kawasan DUN, negeri dan negara. Laksanakan hak anda untuk memilih,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN