Siput kapak atau siput kemudi yang ditemui di pesisir Pantai Sabak, Kota Bharu, kelmarin.

Siput kapak terdampar di Pantai Sabak selamat dimakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Hidupan laut dikenali sebagai siput kapak atau siput kemudi yang ditemui terdampar dalam jumlah banyak di pesisir Pantai Sabak, Kota Bharu, kelmarin disahkan bersih, tidak beracun dan selamat untuk dimakan sekiranya dimasak dengan sempurna.

Pengarah Perikanan Negeri Kelantan, Ismail Ibrahim berkata, siasatan dan pemantauan pihaknya mendapati tiada sebarang unsur pencemaran dikesan di kawasan pantai berkenaan mahupun pada isi kerang-kerangan tersebut.

Menurutnya, kemunculan spesies bivalvia daripada keluarga Pinnidae atau nama saintifiknya Atrina pectinataitu merupakan fenomena semula jadi yang jarang berlaku, namun boleh terjadi apabila arus dasar laut bergerak kuat disertai ombak besar.

“Pergerakan arus pantai yang kuat menyebabkan hidupan dasar laut ini ditolak naik ke pesisiran pantai.

“Secara semula jadi, siput kapak tidak beracun dan merupakan spesies makanan laut yang bernilai komersial di rantau Asia, malah selamat dimakan jika disediakan serta dimasak dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita pada program pelepasan benih ikan baung di Sungai Tasek Pauh, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail menasihatkan orang ramai agar tidak memakan hidupan laut itu secara mentah dan perlu memastikan ia dibersihkan serta dimasak sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan.

Katanya, sebagai hidupan penapis (filter feeder), bahagian kantung najis atau organ dalaman berwarna gelap perlu dibuang terlebih dahulu dan hanya bahagian isi putih bersih seperti otot aduktor (adductor muscle) yang sesuai diambil.

“Orang ramai juga perlu memastikan siput yang dikutip masih segar dan tidak berbau busuk, selain berhati-hati dengan bucu cangkerangnya yang nipis serta tajam ketika mengutip atau membersihkannya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN