PETALING JAYA – Kegiatan mengutip bayaran parkir tanpa kebenaran di Stesen MRT Maluri terus berulang apabila individu yang didakwa terbabit dilihat kembali menjalankan aktiviti itu meskipun kawasan berkenaan diserbu pihak berkuasa semalam.
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa individu terbabit kembali mengutip wang daripada pengguna tempat letak kereta di kawasan berkenaan pagi ini.
Malah, dia turut memaklumkan telah membuka laluan di kawasan parkir berkenaan selain mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran kepada pihak terbabit.
Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna media sosial yang turut mempersoalkan tindakan individu berkenaan yang seolah-olah tidak gentar meskipun pihak berkuasa telah melakukan serbuan.
“Semalam polis datang, mereka hilang. Hari ini muncul balik. Nampak ulat tiket ini tak takut dengan undang-undang. Jadi kenapa kita pula yang kena takut?” komen @ya.sai_ya.
“Kenapa tak ada tangkapan? Tanah rizab itu. Atau nanti dia nak tuntut moyang dia dah buat tapak parking kereta zaman Parameswara dulu?” tulis @raziff.hamzan pula.
Sementara itu, terdapat juga pengguna yang menyifatkan tindakan membuka laluan parkir sebagai satu langkah berani bagi menghalang kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa.
“Terbaik sis, kasi langgar. Dah boleh kasi gelaran ‘Kak Long Parking’,” usik seorang netizen.
Terdahulu, Kosmo! Online pada 10 November lalu melaporkan seorang wanita menerusi perkongsian di Threads memuat naik gambar beberapa individu yang didakwa mengutip bayaran parkir daripada pengguna di Stesen MRT Maluri pada waktu pagi.
Wanita itu turut meminta pihak Rapid KL mencari jalan penyelesaian bagi menangani isu berkenaan yang didakwa meresahkan pengguna kemudahan parkir di kawasan tersebut.
Pada 5 Oktober lalu, Kosmo! Online turut melaporkan dakwaan pengguna tempat letak kereta di Stesen MRT Maluri berhubung kegiatan pihak tertentu yang mengutip bayaran parkir meskipun didakwa tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
Isu yang berulang itu sekali lagi menimbulkan persoalan dalam kalangan pengguna mengenai keberkesanan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan kutipan parkir tanpa kebenaran tidak terus berulang. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















