Lebam pada tangan pelajar yang dikaitkan dengan kejadian dicubit serta dipukul seorang guru di Pulau Pinang.

Guru tampar, cubit calon SPM disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT MERTAJAM – Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang didakwa berulang kali ditampar dan dicubit oleh guru di sebuah sekolah di sini.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihaknya telah menerima aduan berhubung perkara itu dan mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menjalankan siasatan serta menyediakan syor tindakan dan penyelesaian lanjut.

“PPD juga telah mengadakan pertemuan dengan pelajar itu dan keluarganya petang tadi, JPNPP akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang terlibat dalam perkara ini,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Mohamad Dziauddin berkata, fokus segera JPNPP adalah menyediakan khidmat bimbingan sosioemosi kepada pelajar berkenaan bagi membantunya membuat persediaan menghadapi peperiksaan itu.

Beliau turut memohon kerjasama semua pihak untuk bersama-sama menyokong pembentukan ekosistem pendidikan yang selamat bagi murid dan guru, khususnya ketika calon SPM 2026 berada pada fasa akhir persediaan menghadapi peperiksaan.

Katanya, sokongan semua pihak penting dalam memastikan suasana serta persepsi positif terhadap sistem pendidikan terus dipelihara.

Dakwaan kejadian itu tular di media sosial susulan hantaran ibu bapa pelajar berkenaan yang merayu perhatian kepimpinan Kementerian Pendidikan (KPM).

Menurut hantaran itu, pelajar tersebut didakwa berulang kali ditampar dan dicubit sehingga mengalami lebam, selain dihina oleh seorang guru hanya kerana tidak memperoleh keputusan yang baik.

Ibu bapa pelajar itu turut mendakwa kejadian tersebut menjejaskan keyakinan diri anak mereka sehingga menyebabkan remaja itu takut untuk hadir ke sekolah dan memaklumkan enggan menduduki peperiksaan SPM yang dijadualkan bermula minggu depan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN