PETALING JAYA – Seorang penunggang motosikal terjatuh selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mazda menukar laluan ke arah kanan selepas dikatakan tersalah jalan, dalam kejadian berhampiran Lebuh Raya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (Akleh) pagi tadi.
Menerusi video papan pemuka atau dashcam dikongsikan pengguna Threads Dangteh, kejadian berlaku pukul 7.15 pagi tadi dalam keadaan cuaca hujan dan rakaman berkenaan merupakan milik rakannya.
Pada video itu, kelihatan SUV Mazda dipercayai tersilap jalan dan dia menukar laluan ke sebelah kanan dan seterusnya mahu masuk ke arah laluan yang lain.
Bagaimanapun, tindakan itu didakwa menyebabkan seorang lelaki yang sedang menunggang motosikal tidak sempat membrek lalu terlanggar bahagian belakang SUV tersebut lalu terjatuh.
Dalam masa sama, kedengaran bunyi hon kenderaan lain selepas berlaku pelanggaran tersebut dan SUV Mazda itu dilihat meninggalkan lokasi kejadian dan berlalu pergi.
“Siapa yang kenal mangsa kemalangan kat Akleh pagi tadi boleh mesej saya untuk dapatkan dashcam dan nombor telefon saksi.
“Kawan saya terpaksa gerak tadi sebab dah sesak kat belakang. Kereta Mazda tu, orang dah hon pun tak nak berhenti,” katanya pada hantaran Threads tersebut.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai yang berharap keadilan dapat diberikan kepada penunggang motosikal tersebut, selain turut mendoakan kesembuhannya daripada kecederaan akibat terjatuh motosikal.
“Kalau salah jalan, lalu saja. Nanti boleh ubah laluan balik. Ya Allah, bukan buat orang lain cedera ke apa, aduhai,” komen Nabiladibit.
“Salah jalan pun, salah dalam Malaysia juga. Bukan kau salah, tiba-tiba kau dekat Afghanistan ke apa,” kata Intan_surianysuria.
“Ada kesan pelanggaran pada kereta tu. Semoga rider (penunggang) tu diberi afiyah (kesembuhan) dan dapat tuntut daripada pemandu Mazda yang larikan diri,” kata Rhafizulaqil. – KOSMO! ONLINE
















