LOS ANGELES – Personaliti media sosial dan penstrim (streamer) terkenal dari Amerika Syarikat, IShowSpeed mengejutkan ramai apabila menyampaikan keseluruhan ucapan kemenangannya dalam bahasa Indonesia pada majlis anugerah The Streamer Awards 2026 di sini, semalam.
Momen luar biasa itu berlaku selepas pemilik nama sebenar Darren Jason Watkins Jr., 21, tersebut diumumkan sebagai pemenang kategori utama iaitu Streamer of the Year.
Tampil segak mengenakan jaket kulit berwarna merah dan putih, Speed dilihat cukup fasih dan bersahaja ketika meluahkan rasa syukur kepada para peminatnya di hadapan ribuan penonton serta tetamu jemputan.
“Terima kasih banyak semuanya. Aku mula dari sifar, cuma anak kecil dengan mimpi besar.
“Kalian sudah bersamaku dari awal, kalian bukan cuma penggemar, kalian keluargaku. Aku tidak akan berhenti, aku akan terus berjuang untuk kalian. Aku cinta kalian semuanya!” katanya penuh bersemangat sebelum melakukan aksi salto ke belakang (backflip) yang menjadi identitinya.
Kemenangan tersebut sekali gus melakar sejarah baharu apabila beliau muncul sebagai pencipta kandungan pertama yang berjaya merangkul gelaran berprestij itu buat kali ketiga berturut-turut sejak edisi 2024.
Dalam kategori berkenaan, Speed berjaya menewaskan empat lagi calon hebat lain iaitu Jynxzi, CaseOh, Stable Ronaldo dan Joe Bartolozzi.
Selain trofi utama itu, beliau turut membawa pulang satu lagi anugerah iaitu Best
IRL Streamer yang didedikasikan khas buat pasukan produksinya.
Terdahulu, klip ucapan berdurasi kurang seminit itu tular di pelbagai platform media sosial sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang menyangka video tersebut telah disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan.
Bagaimanapun, rakaman siaran langsung acara berprestij itu mengesahkan bahawa Speed benar-benar menuturkan bahasa berkenaan secara spontan sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan padu peminatnya dari rantau Asia Tenggara.
Untuk rekod, Speed mula mendalami bahasa tersebut secara sendiri sejak siri jelajah Asia Tenggara pada September 2024 yang menyaksikan beliau mencipta rekod tontonan siaran langsung tertinggi ketika berkunjung ke Jakarta, Bali dan Yogyakarta. –
















