PETALING JAYA – Tidak mengenal erti penat, pelakon Datuk Adi Putra mencuri perhatian ramai apabila ‘turun padang’ membantu memeriahkan kempen calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira Abu Zahar.
Difahamkan, Adi atau nama penuhnya Mohammed Hadi Putera Halim, 45, baru sahaja tiba di tanah air dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah umrah.
“Sampai dari Mekah, saya terus ke sini.
“Mana lagi? Melakalah,” katanya yang bukan pertama kali turun berkempen untuk parti tersebut
Tidak keseorangan, Adi juga ditemani rakan seperjuangan, Zul Huzaimy turut sama membantu Dira untuk PRN Melaka yang akan berlangsung esok.
Aksinya menunggang motosikal dengan gaya ikonik seperti dalam filem Remp-It turut membuatkan ramai teruja malah tidak sabar untuk turun berkempen bersama.
“Badan senget sambil bawa motor memang ‘legend’.
“Untung orang Jasin boleh jumpa artis popular. Ayuh kita ‘birukan’ Melaka,” komen netizen.
Pada PRN kali ini, Dira penyandang kerusi DUN RIM berhadapan dengan pencabar daripada Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Wanita Keadilan Jasin, Esma Eazreen Husin. – KOSMO! ONLINE
















