PETALING JAYA – Perkhidmatan Microsoft 365 dilaporkan mengalami gangguan, menyebabkan ramai pengguna tidak dapat membuka e-mel Outlook, sekali gus menjejaskan urusan kerja mereka pagi ini.
Tinjauan di media sosial Threads dan X mendapati, ramai pengguna perkhidmatan Microsoft 365 di negara ini meluahkan turut berdepan masalah tersebut yang menyebabkan pelbagai urusan turut tergendala.
Seorang pengguna X Marshmimii berseloroh mahu menyambung tidurnya pada pagi ini disebabkan urusan kerjanya tidak dapat dilaksanakan.
“Hari ini servis Microsoft global ada gangguan, jadi boleh sambung tidur balik ke ni,” katanya.
Seorang pengguna X Ddilaalaa pula memaklumkan, dia hanya bekerja selama tiga jam sahaja pada malam tadi disebabkan gangguan perkhidmatan Microsoft 365 itu.
“Kerja tiga jam je malam tadi sebab lepas tu Microsoft ada masalah. Happy (seronok) untuk malam tadi, mungkin akan pening kepala malam ni kalau masalah dah selesai,” katanya.
Seorang pengguna Threads Abiel memuat naik hantaran pada awal pagi secara berseloroh kepada mereka yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) terhadap masalah berkenaan.
“Ada ke orang-orang IT yang bangun waktu ni? Microsoft down (tergendala) tu ha,” katanya pada satu hantara lima jam lalu.
Ia mendapat pelbagai pengguna Threads lain apabila mereka berdepan masalah untuk menggunakan e-mel Outlook selepas terjejas dengan perkhidmatan yang tergendala itu.
“Saya tengah bosan sekarang, report (laporan) semua tak boleh hantar. Aku pergi delete (padam) e-mel lama ingatkan sebab full storage (ruang simpan penuh), tapi Outlook lagging (sistem perlahan),” kata Mohammad Hafiz.
“Ya Allah, saya kena hantar laporan, tapi e-mel dok loading (gagal dimuatkan). Dua kali restart (mulakan semula), tak okey. Tengok rupa-rupanya isu sedunia,” komen Halisrib.
Terdahulu, Microsoft memaklumkan bahawa gangguan perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa rantau berpunca daripada sejumlah pelayan yang tidak dapat berfungsi secara tiba-tiba, bukan peningkatan trafik pengguna.
Menurut laporan Anadolu Ajansi, Microsoft 365 Status dalam kemas kini terbaharu menerusi platform X memaklumkan bahawa gangguan itu menyebabkan beban tambahan kepada infrastruktur yang masih beroperasi.
Gangguan itu menjejaskan akses kepada peti mel Exchange Online dan berkemungkinan perkhidmatan Microsoft 365 yang lain, dengan pengguna melaporkan masalah sambungan menerusi pelbagai kaedah akses. – KOSMO! ONLINE
















