PETALING JAYA – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, menawarkan pelbagai promosi menarik termasuk rebat sehingga RM100,000 menerusi penganjuran EON Auto Finale 2026 pada hujung minggu ini, 14 dan 15 November 2026.
Acara yang berlangsung di Ibu Pejabat EON, Glenmarie itu menghimpunkan sembilan jenama automotif iaitu Proton, Proton e.MAS, smart, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Hyundai dan Zeekr.
Pengunjung berpeluang melihat dan membandingkan pelbagai model kenderaan terpilih selain menjalani pandu uji serta menikmati tawaran promosi hujung tahun di bawah satu bumbung.
Selain kenderaan baharu, pengunjung turut boleh mendapatkan pilihan kereta terpakai daripada Avis dan kumpulan EON yang diselenggara dengan baik serta diservis secara berkala.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pelanggan masa kini bukan sahaja mencari tawaran menarik, malah mahukan lebih banyak pilihan, kemudahan dan keyakinan dalam proses pemilikan kenderaan.
“Kesemua keperluan ini ada di EON Auto Finale 2026. Melalui ekosistem lengkap EON, kami bukan sekadar menjual kereta, sebaliknya menyediakan ketenangan fikiran sepanjang perjalanan pemilikan kenderaan,” katanya.

Selain rebat sehingga RM100,000, 300 pelanggan terawal yang mendaftar berpeluang menerima ganjaran menarik termasuk 10 hadiah premium berupa kamera papan pemuka (dashcam) bernilai RM300 setiap satu.
Pengunjung yang membuat pendaftaran masuk di lokasi acara turut berpeluang memenangi hadiah, manakala pelanggan yang menempah kenderaan di cawangan EON terpilih di seluruh negara sepanjang tempoh kempen berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM20,000.
Tiga pemenang berpeluang menikmati pengalaman pemanduan eksklusif di Litar Antarabangsa Sepang, termasuk sesi pemanduan di litar bersama pemandu profesional.
EON Auto Finale 2026 turut disertai rakan kerjasama seperti PUSPAKOM yang berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan pemeriksaan kenderaan, Bank Muamalat menerusi kad kredit Muamalat EON serta MODENAS yang mempamerkan motosikal Kawasaki dan MODENAS, selain menawarkan sesi pandu uji.
Selepas acara di Glenmarie, kempen berkenaan diteruskan menerusi EON Auto Finale 2026 Edisi Pulau Pinang di bilik pameran EON Auto Mart Bayan Lepas pada 21 dan 22 November ini, membabitkan model serta promosi terpilih daripada Proton, Mitsubishi, Hyundai, Audi dan Isuzu.
Pelanggan boleh mendaftar untuk mendapatkan ganjaran awal serta maklumat lanjut mengenai acara ini menerusi laman web www.eon.com.my. – KOSMO! ONLINE
















