DUNGUN – Pengalaman berdepan banjir saban tahun mendorong penduduk di beberapa buah kampung di Hulu Dungun di sini mengambil langkah awal dengan memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi bagi mengelakkan kerugian harta benda.
Tengku Adnan Tengku Jaafar, 66, yang tinggal di Kampung Shukor berkata, dia yang berdepan banjir sejak 20 tahun lalu itu mendorongnya untuk membina loteng setinggi lebih lima meter pada bahagian bumbung rumahnya sejak tujuh tahun lalu.
“Saya simpan semua barangan elektrik, tilam dan pakaian di atas loteng bagi mengelakkan lebih banyak kerugian seperti sebelum ini. Setiap kali musim tengkujuh, biasanya lebih lima kali rumah saya dinaiki air.
“Kediaman saya antara paling awal ditenggelami air kerana terletak di kawasan rendah berhampiran Sungai Dungun dan air akan naik lebih tiga meter. Kediaman ini pernah tinggal bumbung sahaja apabila banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di sini semalam.
Bagi penduduk Kampung Pasir Raja, Ahmad Zainuddin Dooa, 63, dia turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan mula mengemas barangan rumah sejak awal November lalu dan diletakkan di atas loteng yang dibina di dalam setiap bilik dan ruang tamu kediaman.
“Setiap kali banjir, saya akan berpindah lebih awal kerana isteri saya berkerusi roda sejak empat tahun lalu selepas kaki kanannya terpaksa dipotong kerana menghidap diabetes.
“Saya tidak mengambil risiko menunggu sehingga air naik kerana proses memindahkan isteri juga rumit bila berlaku banjir. Lagipun, saya tinggal berhampiran sungai. Bila nampak air susah mencecah paras tebing, saya akan terus berpindah,” katanya yang mempunyai tiga anak.
Ahmad Zainuddin berkata, dia turut membina para di dalam reban bagi menyelamatkan kira-kira 80 ekor ayam kampung yang diternaknya daripada ditenggelami banjir.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pasir Raja, Tengku Mat Yunus Tengku Mat Rani berkata, lebih 60 buah rumah melibatkan lebih 180 penduduk di kampung itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja setiap tahun apabila banjir.
















