Mohamad Imran dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi prosiding kes kemalangan maut di Jalan Kuching, hari ini. – FOTO JSPT KL

Pemandu kereta didakwa bunuh pemandu lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu lori dalam kemalangan di Jalan Kuching, 4 November lalu.

Tertuduh, Mohamad Imran Taj Maloor, 32, yang bekerja sebagai pencuci kereta, dihadapkan ke Mahkamah Majistret 9 di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.44 pagi itu, sebuah lori dan kereta terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching menghala ke Bulatan Segambut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu tertuduh bersama seorang penumpang lelaki berusia 46 tahun melanggar bahagian sisi kanan belakang lori berkenaan.

“Akibat perlanggaran itu, lori terbabas ke bahu kiri jalan manakala pemandunya, lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun, mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, ujian hembusan nafas EBA II merekodkan bacaan 61 miligram bagi setiap 100 mililiter (mg/100ml) terhadap pemandu kereta, manakala penumpangnya mencatatkan bacaan 67 mg/100ml.

Katanya, kes itu pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sebelum tertuduh dihadapkan ke mahkamah hari ini atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 28 Januari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan penyerahan dokumen.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Vivi Asnita Zaina’Larifin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN