Ikiyy yang menaiki kayak bergambar bersama ikan toman yang berjaya dipancingnya di Danau Tok Uban, Pasir Mas sebelum melepaskannya semula.

Gewang pensel pikat toman 4.2kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN sebuah kayak dan gewang pensel sepanjang 10 sentimeter, seorang pemancing muda berjaya memperdaya dua ekor ikan toman di Danau Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan menggunakan teknik casting yang memerlukan kesabaran serta ketepatan.

Bagi Muhammad Rifqi Danial Mohd. Razali, 25, atau lebih mesra disapa Ikiyy, kayak bukan sekadar pengangkutan di permukaan air, sebaliknya menjadi senjata penting untuk meneroka lubuk tersembunyi yang sukar didekati pemancing dari tebing.

Anak muda dari Kampung Lati itu biasanya memulakan ekspedisi memancing seawal pagi selepas menunaikan solat subuh.

Lazimnya, dia berkayak seorang diri menyusuri tebing danau yang dipenuhi semak tebal serta kawasan berlumpur sambil memerhatikan pergerakan ikan pemangsa yang diburunya.

Menurut Ikiyy, keupayaan membaca keadaan air dan mengenal pasti lokasi persembunyian toman menjadi antara faktor penting untuk memperoleh hasil, selain pemilihan gewang yang sesuai.

“Bagi saya, toman besar gemar bersembunyi di bawah akar pokok serta celah rimbunan pokok tumbang dan mati. Jadi, saya akan mengayuh kayak perlahan-lahan sebelum berhenti di kawasan yang berpotensi.

“Selepas itu, saya menggunakan gewang pensil dengan teknik Walk The Dog (WTD), iaitu mengarau tali secara perlahan sambil menghenjut hujung joran supaya gewang bergerak ke kiri dan kanan seperti anak ikan yang sedang sakit,” katanya kepada K-Gewang ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, antara rahsia untuk memperdaya toman ialah memberi jeda seketika ketika menggayakan gewang, khususnya apabila gewang berkenaan sudah bergerak ke kiri dan kanan di permukaan air.

“Biasanya, ketika gewang pensel berhenti bergerak selama tiga hingga lima saat, waktu itulah toman di sini akan membahamnya.

“Seperti yang dijangka, seekor toman seberat kira-kira 4.2 kilogram menyambar gewang saya. Kayak saya berpusing-pusing ketika ikan itu cuba melepaskan diri, sebelum berjaya dinaikkan menggunakan sauk selepas beberapa minit bertarung,” katanya.

Selepas merakamkan gambar sebagai kenangan, Ikiyy melepaskan semula toman berkenaan ke habitat asalnya bagi memberi peluang kepada ikan itu terus membesar dan mengekalkan kelangsungan spesies tersebut di danau berkenaan.

IKAN toman yang diraih dengan penggunaan gewang pensel.

Bagi Ikiyy, gewang pensel menjadi pilihan selepas beberapa jenis gewang lain seperti popper, gewang janggut, jump frog dan gewang berbentuk ikan kurang memberikan hasil seperti diharapkan.

Katanya, gewang pensel bukan sahaja membolehkannya menghasilkan aksi renangan di permukaan air, malah sesuai digunakan ketika memburu toman yang bersembunyi berhampiran struktur semula jadi di tebing danau.

Tidak lama selepas berjaya menaikkan toman pertama, peluang sekali lagi muncul apabila dia mengesan seekor toman sedang rancak memburu mangsa berhampiran tebing.

Tanpa berlengah, Ikiyy mengayuh kayak menuju ke kawasan berkenaan sebelum membuat balingan gewang pensel dan menggayakannya menggunakan teknik sama.

Percubaan itu sekali lagi membuahkan hasil apabila seekor lagi toman berjaya diperdaya dan didaratkan. Ikan berkenaan juga dilepaskan semula selepas sesi bergambar.

Bagaimanapun, Ikiyy menjelaskan bahawa dia akan membawa pulang toman yang mengalami kecederaan serius pada bahagian mata akibat tercangkuk mata kail kerana bimbang ikan berkenaan sukar untuk terus hidup.

Mengulas mengenai tanggapan sesetengah pemancing bahawa isi toman kurang enak dimakan, Ikiyy berpendapat perkara itu bergantung pada cara penyediaan dan teknik memasak.

Katanya, isi toman juga boleh menghasilkan hidangan yang menyelerakan jika diolah menggunakan kaedah masakan yang sesuai.

Dalam pada itu, tambahnya. aktiviti memancing di Danau Tok Uban turut berdepan perubahan susulan pembangunan projek solar terapung yang bermula pada 2020.

Danau seluas kira-kira 200 hektar itu kini turut menempatkan kemudahan penjanaan tenaga solar berkapasiti 100 megawatt (MW), sekali gus menjadikan kawasan berkenaan antara lokasi pembangunan tenaga hijau yang mendapat perhatian.

Menurut penduduk setempat, pembangunan projek itu pada awalnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemancing yang bimbang ruang untuk menjalankan aktiviti kegemaran mereka semakin terhad.

Bagaimanapun, kata Ikiyy selepas projek berkenaan siap, pemancing mula menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut termasuk memanfaatkan kawasan yang masih dibenarkan untuk aktiviti memancing.

Difahamkan, bahagian tengah danau yang menempatkan kemudahan solar menjadi kawasan larangan, manakala pemancing masih boleh menjalankan aktiviti di lokasi yang dibenarkan termasuk dari tebing.

Selain menjadi tumpuan kaki pancing, Danau Tok Uban turut mempunyai tarikan tersendiri menerusi Masjid Brunei Darussalam yang lebih dikenali sebagai Masjid Terapung.

Masjid yang dibina sejak era 1970-an itu menjadi antara mercu tanda kawasan berkenaan dan sering menjadi latar fotografi, khususnya ketika matahari terbenam.

Bagi Ikiyy, perubahan landskap danau bukan alasan untuk meninggalkan hobi memancing.

Sebaliknya, kreativiti memilih lokasi, kesabaran membaca pergerakan ikan dan penggunaan teknik yang tepat membolehkannya terus menikmati cabaran memburu toman.

Lebih penting, katanya, amalan melepaskan semula ikan yang masih berpeluang hidup menjadi sebahagian daripada usaha memelihara sumber perikanan supaya keseronokan memburu spesies pemangsa dalam saiz mega terus dapat dinikmati generasi akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN