KUALA LUMPUR – Tujuh individu termasuk seorang remaja bawah umur yang tular merusuh di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Mereka ialah Iftikhar Muhammad Rehmani Mohd. Rafie, 30, Danny Chan Tim Meng, 20, Yee Jun Jiet, 20, Khaw Kah Ho, 19 Mohd. Quayyum Azman, 43, Syaiful Kamal Abdulahak, 44 dan seorang remaja berusia 16 tahun.
Bagaimanapun kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh dengan suspek yang masih bebas telah hadir dan menyertai dalam rusuhan serta memiliki benda yang memudaratkan apa-apa senjata maut yang boleh digunakan sebagai senjata maut untuk menyerang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kafe di Jalan Tun Razak di sini pukul 11 malam pada 1 November lalu yang didakwa mengikut Seksyen 148 kanun keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan remaja berusia 16 tahun diikat jamin RM800 manakala enam lagi tertuduh dibenarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut mengenakan syarat kesemua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan.
Tarikh 11 Disember ini ditetapkan sebutan semula kes.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad.
Peguam Mohamd Akmal Mohd. Taufik mewakili tertuduh Iftikhar Muhammad Rehmani, Danny Chan, Jun Jiet, Kah Ho dan seorang remaja berusia 16 tahun manakala peguam Nurul Aina Ardila Abdul Halim mewakili tertuduh Mohd. Quayyum dan Syaiful Kamal.
Sebelum ini media melaporkan seramai
sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan susulan kejadian merusuh dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua suspek berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sekitar lokasi kejadian.
Beliau berkata polis menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu kira-kira 11 malam.
Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan.
Fadil berkata polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit semasa pergaduhan itu. – KOSMO! ONLINE
















