GEORGE TOWN – Umat Islam yang menghadiri konsert The Weeknd dan didakwa mempunyai unsur ritual pemujaan diseru supaya segera bertaubat kepada Allah SWT sekiranya mengetahui dan sengaja menyertai perbuatan yang bertentangan dengan akidah Islam.
Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, perbuatan menyokong atau mengambil bahagian secara sedar dalam ritual pemujaan dan penyembahan selain Allah SWT merupakan perkara serius yang perlu diberikan perhatian oleh umat Islam.
Bagaimanapun, menurutnya, penilaian hukum perlu membezakan antara individu yang sekadar hadir sebagai penonton tanpa mengetahui kewujudan ritual tersebut dengan mereka yang secara sedar mengambil bahagian atau mengiktiraf amalan berkenaan.
“Kehadiran seseorang semata-mata untuk menyaksikan persembahan hiburan tanpa mengetahui atau menyertai sebarang ritual pemujaan tidak menjadikan individu itu melakukan syirik atau terkeluar daripada Islam.
“Namun, bagi mereka (umat Islam) yang menghadiri konsert tersebut sangat digalakkan untuk bermuhasabah, beristighfar dan menunaikan solat sunat taubat. Bagi mereka yang benar-benar melakukan perkara yang diharamkan, taubat adalah wajib,” katanya kepada Kosmo! di sini, tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan persembahan konsert The Weeknd di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 dan 5 November lalu mengandungi unsur bercanggah akidah Islam.
Bagaimanapun katanya, tidak boleh dihukum bahawa semua pengunjung telah melakukan syirik hanya kerana berada dalam konsert yang didakwa mempunyai unsur pemujaan.
“Namun, sekiranya seseorang mengetahui wujudnya unsur pemujaan yang bertentangan dengan akidah Islam tetapi sengaja menyokong atau turut serta dalam perlakuan tersebut, maka perbuatannya adalah haram dan wajib ditinggalkan serta hendaklah bertaubat.
“Tahap kesalahan akidahnya bergantung pada bentuk penyertaan, niat dan kepercayaannya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya seseorang benar-benar melakukan penyembahan terhadap selain Allah SWT dengan penuh kesedaran dan kerelaan, perbuatan itu merupakan syirik yang amat besar dosanya.
Justeru, individu terbabit wajib segera melakukan taubat nasuha dengan meninggalkan perbuatan tersebut, menyesal serta berazam tidak mengulanginya.
Dalam pada itu, beliau berkata, umat Islam tidak seharusnya membuat kesimpulan bahawa semua pengunjung konsert berkenaan terbabit dalam ritual pemujaan hanya berdasarkan dakwaan atau tafsiran terhadap persembahan pentas.
Katanya, tindakan Jabatan Kemajuan Islam menjalankan siasatan dan penelitian sewajarnya diberikan ruang bagi mengenal pasti kedudukan sebenar perkara tersebut berdasarkan fakta.
Jelasnya, dalam konteks hiburan, umat Islam juga perlu lebih berhati-hati memilih persembahan yang dihadiri, khususnya jika menampilkan simbol, perlakuan atau mesej yang boleh mengelirukan serta menjejaskan pegangan akidah.
Beliau turut menegaskan bahawa kewajipan bertaubat bukan hanya terhad kepada mereka yang terlibat dalam ritual pemujaan, bahkan turut merangkumi umat Islam yang menghadiri konsert atau program hiburan yang melibatkan perbuatan maksiat dan pelanggaran hukum syarak.
“Sekiranya sesuatu konsert melibatkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan bukan mahram tanpa menjaga batas syarak (ikhtilat yang diharamkan), pendedahan aurat, perlakuan tidak senonoh, pengambilan arak atau perbuatan maksiat yang lain, maka umat Islam yang sengaja terlibat dalam perkara tersebut wajib bertaubat kepada Allah SWT.
“Islam tidak mengharamkan hiburan secara mutlak, namun hiburan mestilah mematuhi garis panduan syarak dan tidak menjadi medan untuk melakukan maksiat.
“Justeru, umat Islam hendaklah menjauhi hiburan yang jelas mengandungi unsur kemungkaran, walaupun tidak melibatkan sebarang ritual pemujaan atau unsur syirik,” ujarnya.
Tambah beliau, hiburan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan akidah, manakala penganjur dan pihak berkuasa perlu memastikan persembahan yang dianjurkan tidak mengandungi unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam. -KOSMO! ONLINE
















