PETALING JAYA – Hasrat sebuah keluarga untuk berehat di sebuah rumah penginapan atau ‘homestay’ sebelum menghadiri majlis perkahwinan bertukar pengalaman kurang menyenangkan apabila berdepan pelbagai peraturan yang didakwa terlalu ketat.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @kimiraikonen_, dia mendakwa ahli keluarga mentuanya yang menginap di ‘homestay’ berkenaan pernah dimarahi pemilik rumah hanya kerana lambat menjawab panggilan telefon.
Lebih mengecewakan, dia turut mendakwa terdapat banyak kertas mengandungi peraturan yang ditampal di sekitar rumah sehingga menyebabkan tetamu berasa takut untuk menggunakan barangan yang disediakan.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman masing-masing selain memberikan pelbagai reaksi terhadap peraturan yang didakwa dikenakan.
“Daripada gambar pertama, terlalu banyak barang yang tidak diperlukan seperti rumah yang ditinggalkan. Saya beranggapan pemilik sebenarnya tinggal di situ tetapi mengiklankan rumah berkenaan sebagai ‘homestay’.
“Jadi, apabila ada pelanggan membuat tempahan, pemilik terpaksa keluar dan sebab itu terlalu banyak peraturan sehingga semua benda tidak boleh dibuat,” komen qurratul24_.
Seorang lagi pengguna @syakierah_mr mendakwa pernah menginap di ‘homestay’ sama dan menganggap pengalaman itu sebagai tempahan pertama dan terakhirnya.
“Menyesal. Saya sendiri orang kampung sini. Lebih baik cari ‘homestay’ lain,” ujarnya.
Sementara itu, @kedaikekalmie turut berseloroh dengan menyifatkan penginapan berkenaan seperti asrama untuk orang dewasa.
“Ini mungkin asrama versi dewasa. Bukan ‘homestay’ kot,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















