Farzana Hayani sewaktu berkempen di KRT Rumah Pangsa Lereh. Foto FACEBOOK FARZANA HAYANI

PRN Melaka: Fasih bahasa Mandarin kelebihan Farzana dekati pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Fasih bertutur bahasa Mandarin memberikan kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang Farzana Hayani Mohd Nasir untuk mendekati pengundi Cina, khususnya golongan warga emas.

Kehadirannya di Pokok Mangga, di sini bagi berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, menarik perhatian peniaga Fang Kong Goon, 63, yang memuji keramahan calon muda itu semasa berinteraksi dengan komuniti Cina.

“Pandai bertutur bahasa Mandarin membolehkan Farzana lebih mudah memperkenalkan diri kepada komuniti Cina terutama warga emas dan membina hubungan lebih mesra dengan penduduk.

“Penggunaan bahasa Mandarin ketika berkempen juga memudahkan penyampaian maklumat termasuk berkaitan manifesto dan harapan jika menjadi wakil rakyat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Tokong Geok Hu Keng di sini.

Penjaga tokong Ku Chin Siew, 70, berkata, Farzana Hayani atau mesra dipanggil Nana oleh masyarakat setempat bukan individu asing di situ kerana sering turun padang dan mendekati masyarakat setempat.

Chin Siew juga mengakui suka melihat golongan muda berkebolehan menguasai pelbagai bahasa termasuk bahasa Mandarin.

Sementara itu, Farzana Hayani, 26, berkata, rapat dengan komuniti Cina kerana bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ying Chye, Bukit Rambai dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tinggi Cina Melaka serta mengambil subjek bahasa Mandarin pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anak jati Kelebang itu berkata fasih berbahasa Mandarin menjadi kelebihan dan sangat membantu dirinya mendekati masyarakat Cina ketika berkempen, sekali gus membuatkan mereka berasa lebih selesa untuk berinteraksi.

“Ramai masyarakat Cina yang disantuni ketika berkempen, khususnya di kedai makan dan semasa program jelajah mesra terkejut mendengar saya bertutur bahasa Mandarin dan perbualan politik kami menjadi lebih santai.

“Alhamdulillah, ia kelebihan kepada saya. Maklum balas diterima daripada masyarakat Cina di DUN Kelebang juga positif dan saya harap akan diterjemahkan pada kertas undi nanti,” katanya.

Pada PRN Melaka ke-16, Farzana Hayani berhadapan saingan empat penjuru menentang Datuk Lim Ban Hong daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu (Bersama). – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN