PETALING JAYA – Berdepan kecaman netizen selepas dikatakan bergurau melampaui batasan dengan beberapa peserta program Gegar Vaganza Fantasia, pelawak dan pengacara Nabil Ahmad menerima segala kritikan dengan hati yang terbuka.
Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, 43, ketika dihubungi Kosmo! Online berkata, dia sudah lali dengan kecaman dan enggan memanjangkan perkara yang sudah pun terjadi.
“Kalau boleh saya malas layan segala komen ditinggalkan netizen di media sosial.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai hos. Biasalah apa sahaja kerja kita buat — ada yang suka, ada juga sebaliknya.
“Saya tak boleh paksa orang suka kerja saya dan saya juga tak boleh paksa mereka membenci apa yang saya tak buat. Saya take note segala kritikan dan akan perbaiki dari semasa ke semasa,” katanya.
Ditanya tentang kritikan netizen yang mendakwa dirinya masih tidak berubah dan suka melakukan gurauan body shaming dan menyampuk ketika juri memberi pandangan, jawab Nabil: “GV (Gegar Vaganza) ini dah 13 tahun, masih perlu saya terangkan?
“Saya percaya, dalam pada mencerca dan memaki, ada juga dalam kalangan mereka yang menghormati kerja saya sebagai seorang hos.”
Malam tadi, Nabil berpadu tenaga dengan rakan pengacara Jihan Muse dan Sherry Alhadad mengemudi minggu pertama Gegar Vaganza Fantasia (GV13).
Dalam pada ramai memuji persembahan para peserta program terbabit, terselit juga dalam kalangan peminat yang melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Nabil gara-gara keceloparan mulutnya ketika menjalankan tugas sebagai hos.
Antara peserta yang menjadi ‘bahan’ usikan Nabil Ahmad pada konsert minggu pertama termasuklah Mila Jirin dan Faizal Ramly.
Faizal diusik mengenai keadaan bengkak pada dirinya, manakala Mila pula menerima komen berseloroh Nabil mengenai tahi lalat (mole) pada wajahnya.
Pada konsert minggu pertama yang berlangsung di Dewan MBSA Shah Alam itu, seramai 10 peserta membuat persembahan iaitu Stacy, Mila, Vince, Faizal, Faizal, Zahid, Firman, dan Shahir
Salah seorang peserta iaitu Mawi membuat persembahan secara rakaman kerana terlibat dengan konsert solonya yang berlangsung pada waktu yang sama.
Pada penghujung konsert, 25 calon bekas peserta Akademi Fantasia yang boleh diundi untuk mengisi empat kekosongan di posisi ‘hot seats’. – KOSMO! ONLINE
















