PEKAN – Selepas hampir lima bulan berlalu, perasaan rindu dan rasa trauma seorang wanita yang kehilangan dua insan tersayang masih belum dapat dilupakan.
Malah, Dr. Hana Ibrahim yang kini sarat mengandung 32 minggu terpaksa menanggung penderitaan fizikal dan mental selepas suaminya, Dr. Mohammad Zekry Zuhairy Mohd. Atan, 33, serta anak mereka, Dhea Sofea, 2, maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 67, Jalan Kuantan-Segamat dekat sini pada 19 Jun lalu.
Dr. Hana dan Dr. Mohammad Zekry masing-masing bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Segamat.
Turut terkorban dalam nahas terbabit ialah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard yang juga pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Azaharuddin Mohd. Ali, 46.
Akibat kemalangan itu, Dr. Hana juga mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk mata, hidung, rahang serta dasar tengkorak.
Menurut Dr. Hana, sejak kejadian itu, hari-harinya hanya ditemani air mata sambil menatap rakaman video dan gambar kenangan arwah suami serta anaknya bagi melepaskan kerinduan.
Katanya, walaupun kini menumpang di rumah kakaknya di Kuantan, dia tidak sanggup mengusik atau mengemas barangan peninggalan dua beranak itu di kediaman mereka.
“Saya ada pulang ke rumah dan membiarkan sahaja mainan anak bersepah. Malah, baju arwah anak pun saya biarkan tidak berbasuh kerana tidak sampai hati hendak kemas.
“Saya rasa kehilangan yang teramat sangat dan terlalu rindu kerana kami sudah biasa bekerja di tempat sama serta menghabiskan kebanyakan masa bersama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Jelasnya, segala perancangan masa depan termasuk menyambung pengajian dan berpindah ke rumah baharu yang baru dibeli turut musnah begitu sahaja.
“Malah, saya sendiri tidak pergi mengambil kunci rumah baharu itu baru-baru ini.
“Selama ini bila rakam detik bersama Sofea, saya sangka kami akan tengok semula bila dia sudah besar nanti.
“Saya tidak pernah sangka setiap hari akan tengok video dan gambarnya sambil mengharapkan dia masih ada. Kasihan juga pada bayi dalam kandungan ini kerana lahir tanpa ayah dan kakak,” katanya sebak.
Sementara itu, balu kepada Allahyarham Azaharuddin, Siti Fatimah Awang Kechik, 46, mengakui pemergian suaminya membuatkan dia dan anak mereka yang berusia 15 tahun hilang tempat bergantung.
Katanya, tragedi tersebut meninggalkan kesan cukup mendalam buat mereka berdua untuk meneruskan kehidupan tanpa ketua keluarga.
Sebelum ini, media melaporkan tiga termasuk seorang doktor maut, manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat dekat Pekan.
Ketua Polis Daerah, Pekan Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zain berkata, kemalangan kira-kira 6 petang itu mengakibatkan dua pemandu kenderaan, Dr. Mohamad Zekry Zuhairy yang bertugas di Hospital Segamat, Johor dan pegawai kanan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya, Selangor Azaharuddin Mohd. Ali, 46, maut di lokasi kejadian.
Beliau berkata, anak kepada Dr. Mohamad Zekry Zuhairy, Dhea Sofia yang berusia dua tahun meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Chini.
“Hasil siasatan awal mendapati ketika kejadian, kenderaan yang dipandu pegawai perubatan dan pegawai kanan LHDN itu dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan,” katanya.
















