Mastura (kiri) dan Deepti optimis akan peluang pesakit kanser payudara pulih sepenuhnya dengan teknologi rawatan masa kini.

Barah payudara bukan hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBUT tentang barah atau kanser payudara, ramai menganggap ia seperti dijatuhi hukuman mati sehingga tiada semangat untuk meneruskan rawatan. Ada juga yang lambat mengambil tindakan untuk membuat pemeriksaan pada peringkat awal.

Pelbagai faktor menyebabkan separuh daripada kes kanser ini di Malaysia masih dikesan pada peringkat lewat kerana ketakutan pesakit dan salah faham mereka tentang usaha saringan.

Pakar Perunding Onkologi Klinikal di Picaso Breast Centre, Dr. Mastura Md. Yusof berkata, antara perubahan terbesar dalam rawatan hari ini adalah kefahaman bahawa kanser payudara terbahagi kepada beberapa jenis yang ditentukan oleh biologi tumor itu sendiri, bukan saiz ketulan atau umur pesakit.

“Sebab itu kami buat ujian ke atas tisu tumor sebelum memilih rawatan. Apabila kita tahu jenisnya, kita boleh beri rawatan yang menyasarkan jenis itu,” katanya dalam satu temubual yang diadakan bersama Pengurus Besar Roche Malaysia, Deepti Saraf.

Menurut Deepti, matlamat rawatan kanser telah berkembang seiring dengan kemajuan sains dan peruntukan khusus diperlukan untuk meningkatkan kesihatan wanita dalam belanjawan negara.

“Melabur dalam kesihatan wanita bukan satu kos, ia adalah pelaburan. Apabila seorang wanita terganggu, seluruh keluarganya terganggu dan kesannya sampai kepada ekonomi negara,” jelasnya.

KOSMO!: Benarkah menghidap kanser payudara seakan dijatuhi hukuman mati?

MASTURA: Sama sekali tidak dan anggapan itu paling banyak merugikan wanita kita hari ini.

Saya sudah berada dalam bidang onkologi (kajian tentang tumor) sejak tahun 2000 dan ketika itu, rata-rata pesakit kanser pa­yudara tahap tiga atau empat biasanya hidup selama satu hingga dua tahun sahaja.

Itu sebabnya generasi ibu dan nenek kita berpegang pada kepercayaan bahawa kanser bermakna mati, tetapi hari ini kea­daan sudah jauh berubah.

Walaupun bagi pesakit kanser payudara peringkat lanjut (tahap empat), kita bercakap tentang purata kemandirian selama lapan hingga sepuluh tahun, apatah lagi bagi wanita yang didiagnosis pada peringkat awal, peluang hidup mereka jauh lebih baik.

Ramai yang kembali bekerja, membesarkan anak, dan ada juga yang mengandung selepas selesai rawatan.

Kenapa separuh daripada kes di Malaysia hanya dikesan pada peringkat tiga atau empat?

Sebab utama pesakit datang lambat ialah takut. Bukan setakat pada kanser itu sahaja, tetapi apa yang mereka bayangkan akan berlaku selepas itu.

Dalam fikiran ramai wanita, diagnosis kanser bermakna kemoterapi, rambut gugur, tidak boleh bekerja, duit habis dan seluruh keluarga terganggu. Jadi mereka bertangguh.

Faktor kedua pula adalah salah faham tentang saringan. Ramai percaya mamogram hanya perlu dibuat apabila ada sesuatu yang dirasai, sedangkan tujuan saringan adalah untuk menjumpai sesuatu sebelum timbul simptom seperti ketulan.

Kedua-dua perkara ini adalah tabiat dan kepercayaan, bukan halangan perubatan jadi ia boleh diubah.

Adakah kadar kemandirian benar-benar meningkat?

Ya, saya boleh bandingkan sendiri kerana saya sudah berada dalam bidang ini selama 26 tahun. Angka kebangsaan yang sering dipetik ialah 66.8 peratus, iaitu kadar wanita yang masih hidup lima tahun selepas di­sahkan menghidap kanser payu­dara, daripada kajian MySCan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tetapi angka itu perlu difahami dengan betul. Ia berdasarkan data pesakit di hospital KKM sahaja, tidak termasuk pesakit yang dirawat di hospital swasta.

Terdapat pusat perubatan swasta yang pernah menerbitkan data mereka sendiri dan me­laporkan kadar kemandirian jauh lebih tinggi, setaraf dengan negara maju seperti Singapura dan Australia.

Jadi gambaran sebenar bagi negara ini berkemungkinan lebih baik daripada 66.8 peratus. Yang lebih penting daripada angka itu ialah tahap kanser ketika dijumpai, kerana di situlah perbezaan paling besar berlaku.

Sebagai rakan kongsi dalam perjalanan rawatan pesakit, apakah maksud inovasi dalam rawatan kanser hari ini?

DEEPTI: Kanser bukan lagi hukuman mati. Ada kehidupan selepas diagnosis.

Untuk sekian lama, matlamat rawatan kanser adalah memberi pesakit lebih banyak masa. Namun hasil sains moden dan inovasi, matlamat itu telah berkembang. Hidup lebih lama sudah tidak mencukupi. Kami mahu pesakit hidup dengan lebih baik.

Dahulu, diagnosis kanser menyebabkan seluruh kehidupan seorang wanita dan keluarganya terhenti. Rawatan bermakna berjam-jam di hospital sehingga mengambil masa sepanjang hari.

Hari ini, rawatan jauh lebih bersasar dan lebih mudah diberikan sehingga jumlah masa di hospital dapat dikurangkan kepada hanya beberapa jam. Ini bermakna kurang mengambil cuti daripada kerja, kurang gangguan di rumah dan lebih banyak masa bersama orang tersayang.

Bagi saya, itulah kuasa sebenar inovasi. Kanser tidak sepatutnya menguasai hidup seseorang pesakit. Rawatan sepatutnya dapat disesuaikan dengan rutin hari­an supaya hidup mereka terus bergerak ke hadapan.

Bagaimana Roche memainkan peranan dalam pelan rawatan pesakit kanser?

Kami telah menandatangani memorandum persefahaman dengan KKM untuk membawa rawatan kanser terus kepada komuniti. Dengan melengkapkan hospital daerah untuk memberikan rawatan, penjagaan menjadi jauh lebih mudah diakses.

Untuk menjayakannya, kami melabur secara langsung dalam latihan jururawat yang akan memberikan terapi di peringkat tempatan. Ini memastikan rawatan kekal dekat dengan rumah dan menjimatkan masa perjalanan serta beban kewangan keluarga.

Kami juga membawa kajian klinikal ke Malaysia. Ini me­ngukuhkan keupayaan saintifik tempatan, di samping memastikan para profesional kesihatan sentiasa dikemas kini dengan bukti klinikal terbaharu supaya mereka seiring dengan kemajuan perubatan yang pesat.

Selain itu, melalui platform industri seperti Persatuan Farmaseutikal Malaysia, kami be­kerjasama dengan rakan industri dan pemimpin kerajaan untuk meneroka penyelesaian pem­biayaan kesihatan yang mampan.

Mengapa kerjasama antara hospital dan rakan industri seperti Roche begitu penting?

Ramai memandang serong syarikat farmaseutikal kerana kebanyakan orang tidak tahu apa yang sebenarnya kami lakukan.

Untuk menghasilkan satu ubat, kosnya berbilion dolar dan mengambil masa sehingga 20 atau 30 tahun penyelidikan, de­ngan banyak kegagalan sebelum satu kejayaan.

Roche antara sepuluh pelabur terbesar dunia dalam penyelidikan dan pembangunan. Selain penyelidikan, kami menyokong doktor dengan maklumat terkini, membawa kajian klinikal ke Malaysia dan menyediakan soko­ngan kepada pesakit melalui ra­watan inovatif.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN