PONTIAN – Veteran UMNO Johor mempersoalkan asas kuasa undang-undang yang digunakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk penangguhan pelaksanaan tahanan rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Datuk Othman Jais, berkata, pihaknya juga meminta AGC menjelaskan samada jabatan itu mempunyai kuasa ‘statutori’ atau perintah mahkamah yang sah untuk menghalang pelaksanaan perintah dikeluarkan oleh hakim.
Katanya, sekiranya tiada asas kuasa yang sah, tindakan berkenaan boleh menimbulkan persoalan serius mengenai kemungkinan penyalahgunaan kuasa atau ketidakpatuhan oleh mana-mana pegawai awam.
Menurut beliau, ianya merupakan satu tindakan yang boleh menjejaskan kedaulatan titah yang Di Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukan kuasa pengampunan DiRaja.
“Saya berpandangan bahawa apa-apa tindakan pentadbiran yang menghalang pelaksanaan keputusan pengampunan DiRaja tanpa asas undang-undang yang sah perlu diperiksa dengan teliti,” katanya kepada Kosmo selepas membuat laporan Polis di Balai Pontian, disini, petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Pontian, Abd. Rahman Jamat dan Pengerusi Veteran UMNO Bahagian Tanjung Piai, Mohd. Yunos Abd. Rahman.
Tambah Othman, dalam konteks ini, beliau meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) samada tindakan tersebut unsur penghinaan terhadap kewibawaan institusi Yang DiPertuan Agong atau disifatkan sebagai penderhakaan. – KOSMO! ONLINE
















