Tangkap layar video memaparkan memaparkan Allahyarham Abdullah Ozkan ketika memimpin bacaan doa sebelum rebah di lapangan terbang.

[VIDEO] Rebah ketika pimpin doa, ajal pesara imam sebelum berangkat umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang pesara imam meninggal dunia selepas rebah ketika memimpin bacaan doa di lapangan terbang sebelum berlepas ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Lebih menyentuh hati, Abdullah Ozkan, 68, ketika kejadian lengkap berpakaian ihram dan sedang memimpin doa bersama sekumpulan jemaah lain.

Menurut laporan portal Turkish Gulf News, kejadian berlaku di Lapangan Terbang Konya, Turkiye, ketika kumpulan jemaah berkenaan berkumpul kira-kira pukul 2 pagi selepas menyelesaikan urusan perjalanan.

Allahyarham yang merupakan pesara imam dari daerah Beysehir, Konya, terlebih dahulu memimpin doa perpisahan sebelum membaca talbiah, kalimah syahadah dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Bagaimanapun, suaranya tiba-tiba menjadi lemah sebelum dia rebah ketika sedang mengakhiri bacaan selawat.

Petugas perubatan lapangan terbang segera memberikan bantuan kecemasan termasuk melakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Fakulti Perubatan Universiti Selcuk.

Namun, usaha menyelamatkan gagal apabila dia disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

Media tempatan melaporkan Allahyarham dipercayai mengalami serangan jantung, bagaimanapun punca sebenar kematiannya belum disahkan secara rasmi.

Sementara itu, perkongsian mengenai kejadian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan pemergian Allahyarham ketika dalam persiapan menunaikan ibadah umrah sebagai satu pengakhiran yang diimpikan umat Islam.

“Pengakhiran yang sempurna. Tiada yang dapat menandinginya. Semoga Allah mengurniakan saya, isteri dan seluruh keturunan saya pengakhiran kehidupan yang sedemikian. Amin,” komen seorang pengguna.

“Allahuakbar, impian dan doa setiap umat Islam untuk memperoleh pengakhiran kehidupan dunia yang seindah ini. Subhanallah,” komen yang lain.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Beysehir pada Jumaat selepas solat jenazah di Masjid Carsi yang turut dihadiri ahli keluarga, pegawai agama dan penduduk setempat. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN