PETALING JAYA – “Hampir ke arah ‘final destination’ (destinasi akhir).”
Itu antara komen netizen selepas sebuah tong gas dilihat terjatuh dari sebuah lori yang sedang bergerak dalam kejadian di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghala ke Kajang.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang berada berhampiran lori berkenaan sebelum dikongsikan di Threads.
Situasi itu mengundang kebimbangan pengguna jalan raya kerana tong gas berkenaan boleh mengundang bahaya, terutamanya kepada penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menjaga jarak ketika berada berhampiran kenderaan berat yang membawa muatan.
“Sebab itu kalau ada lori jenis muatan berat, jaga jarak. Kita tidak tahu apa yang boleh berlaku,” komen izwansafire.
“Aku selalu rasa paranoid kalau lalu sebelah lori macam ini. Doa-doalah kejadian ini tidak melibatkan kemalangan,” komen wazzain pula.
Sementara itu, seorang pengguna turut berkongsi pengalaman pernah menyaksikan tiga tong gas terjatuh daripada sebuah lori kecil selepas melalui jalan berlubang.
“Pernah dulu lori kecil bawa gas macam ini, dia laju dekat jalan yang berlubang, tiga tong gas terkeluar daripada lori itu.
“Selepas kejadian itu memang tidak akan ikut belakang lori yang membawa muatan gas, kayu atau besi,” tulisnya.
Perkongsian itu mengingatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan mengekalkan jarak selamat ketika berada berhampiran kenderaan berat untuk mengelak kejadian tidak diingini berlaku. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
















